Anda di sini

Willem Dafoe sebagai Van Gogh dalam ‘At Eternity’s Gate’

Advertisement
WILLEM DAFOE
WILLEM DAFOE

KETIKA Willem Dafoe bersiap sedia untuk membawa watak Vincent Van Gogh dalam sebuah filem baharu tentang pelukis yang terkenal kerana kehidupannya yang terseksa itu, dia membuat sesuatu yang akan memberi mimpi ngeri kepada kurator muzium selama bertahun-tahun akan datang.

Dia membelek sebuah buku lakaran “yang hilang” milik artis itu dari kehidupannya di Arles, apabila pengarah filem itu – pelukis Amerika yang ranggi, Julian Schnabel – melihatnya seperti seorang manusia yang kerasukan.

“Kami memakai sarung tangan putih dan sebagainya,” kata Dafoe kepada AFP, “dan kami dengan lemah lembut meninjaunya dengan meneliti lukisan. Kemudian pada satu ketika, Julian mencengkam tangan saya dan menghempapnya di atas salah satu lakaran.

“Ia seperti sesuatu dari filem ‘The Exorcist’,” kata pelakon itu.

“Dia memaksa transmisi – satu hubungan di antara saya dengan Van Gogh – dan saya rasa ia berkesan.”

Pengkritik di Festival Filem Venice bersetuju, kerana Dafoe adalah calon pilihan awal untuk memenangi hadiah pelakon terbaik selepas ‘At Eternity’s Gate’ mengadakan tayangan perdana di festival itu.

Sementara keaslian buku lakaran itu dipertikaikan – Muzium Van Gogh dan dua pakar utama mengenai pelukis itu sedang berperang berhubung isu itu – Dafoe percaya ia adalah tulen.

Dia dan Schnabel yang sering berubah-ubah – seorang pelukis ‘neo-expressionist’ yang masyhur dan paling terkenal kerana lukisan-lukisan pinggan pecahnya yang besar – berada dalam keadaan yang biasa bagi mereka dengan menangani kemarahan yang mendorong dan kadang-kadang menghantui pelukis-pelukis hebat.

Dafoe terpaksa bergelut dengan perkara-perkara yang menghantui pengarah hebat dari Itali, Paolo Pasolini, dalam filem arahan Abel Ferrara pada 2014 ‘Pasolini’.

Schnabel turut membawa kehidupan rakan lamanya yang terseksa dalam dunia kesenian di New York, Jean Michel Basquiat, ke skrin besar dalam ‘Basquiat’.

- ‘Ia hebat sama sekali!’ -

Dalam filem itu, pelukis tersebut – yang menerima empat pencalonan Oscar untuk ‘The Diving Bell and the Butterfly’ – tidak berundur daripada neraka yang dialami Basquiat sebelum kematian awalnya akibat pengambilan heroin yang berlebihan.

Namun Dafoe berkata filem Van Gogh adalah lebih daripada sekadar sebuah biopik.

“Saya benci untuk menjadi ketua penyorak bagi filem saya sendiri tetapi ini agak radikal dan emosional, ia tidak konvensional sama sekali.

“Ia bukan sebuah filem anugerah” yang dibuat dengan sebelah mata mengintai anugerah Oscar.

“Ia adalah mengenai lukisan, ia adalah mengenai menjadi seorang pelukis, ia adalah mengenai alam semula jadi dan kerohanian kerana Van Gogh mahu menjadi seorang pastor sebelum dia menjadi seorang pelukis. Dia berpendapat Al-Kitab adalah buku paling hebat pernah ditulis,” ujar Dafoe.

“Lukisan adalah sesuatu yang Julian amat kenali – di sinilah dua minat mendalamnya bersatu: lukisan dan pembikinan filem.”

“Saya melukis, Julian melukis, Van Gogh melukis,” isytihar Dafoe sambil ketawa – “Ia hebat sama sekali!

“Ia mengejutkan berapa kerap saya melukis di dalamnya. Julian mengajar saya bagaimana untuk melukis dan kemudian kami melukis bersama-sama dalam gaya Van Gogh.

“Anda fikir ‘Sejauh manakah melukis itu menarik?’ Namun jika anda pernah berada dalam studio bersama seseorang seperti Julian, ia adalah indah untuk dilihat.”

“Saya mengalami perubahan dalam cara saya melihat dan perhubungan saya dengan alam semula jadi menerusi watak Van Gogh dan membaca apa yang dia tulis,” katanya.

- ‘Saya rasa dekat dengan Van Gogh’ -

Dafoe, yang mula-mula belajar untuk melukis tiga dekad lalu bagi ‘To Live and Die in L.A.’, apabila dia berlakon sebagai seorang pemalsu karya seni, berkata penggambaran di kawasan lapang sekitar Arles dan di rumah sakit jiwa di Saint-Remy di mana Van Gogh menulis bahawa “kita sentiasa mendengar jeritan dan lolongan seakan-akan daripada koleksi haiwan liar”, membuat bulu romanya meremang.

“Saya rasa dekat dengannya,” kata pelakon itu, yang menakutkan kerana kelihatan seperti pelukis itu di atas skrin.

Tidak seperti filem lain mengenai Van Gogh seperti filem klasik pada 1956 ‘Lust for Life’ yang dibintangi Kirk Douglas, Dafoe berkata filem baharu itu mengelak “filem-filem hit paling hebat” seperti ‘Sunflowers’ atau menggambarkannya memotong telinganya apabila dia bergaduh dengan Gauguin.

“Namun dalam sebahagian filem itu, dia tidak ada telinga. Kita tidak menjauhkan diri daripada apa yang dia buat kepada diri sendiri.”

“Ia memberi fokus kepada penghujung hayat Van Gogh dan bermula sejurus sebelum dia berjumpa dengan Gauguin dan dia pergi ke Arles,” katanya.

“Kami membuat penggambaran di sana dan di Paris dan di Auvers-sur-Oise”, di mana Van Gogh menembak diri sendiri – namun filem itu menggunakan teori kontroversi bahawa dia terbunuh selepas dia bergelut dengan beberapa belia tempatan.

Dengan membuat penggambaran di begitu banyak lokasi sebenar seperti Saint-Remy, “yang mana sebahagiannya masih sebuah hospital, kami mengusik hantunya”, kata Dafoe, yang tidak dapat memenangi anugerah Oscar bagi pelakon terbaik untuk ‘Florida Project’ pada tahun lepas.

“Saya tidak pernah memikirkan tentang mana-mana orang lain untuk membawa watak Van Gogh,” kata Schnabel kepada pemberita di Venice.

“Dia memiliki pengetahuan yang begitu mendalam. Mempunyainya bersama saya di set penggambaran adalah sekutu terbaik yang saya dapat miliki.”

— AFP

Advertisement