Anda di sini

Tiada sistem pengesanan bot mangsa culik

Advertisement
HAZANI
HAZANI

LAHAD DATU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali mengesahkan tiada sistem pengesanan yang dipasang pada bot nelayan dinaiki dua mangsa culik di perairan Pulau Gaya, Semporna, awal pagi Selasa.

Katanya hasil siasatan mendapati bot nelayan terbabit tidak dilengkapi alat perhubungan termasuklah sistem pengesanan automatik (AIS) dan sistem pemantauan dalam kenderaan (iiVMS).

Justeru, pihaknya sekali lagi menasihatkan pengusaha kapal serta bot nelayan agar memasang sispem pengesanan pada bot masing-masing.

"Tindakan ini adalah sebagai pendekatan strategik yang boleh membantu pihak keselamatan membuat pemantauan terhadap aktiviti perkapalan di perairan Esszone," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hazani berkata pihaknya sudah berulang kali memberi peringatan tentang kepentingan pemasangan peralatan pegesan ini malangnya sebahagian pengusaha kapal dan bot nelayan masih gagal mematuhinya.

"Tindakan kru kapal serta bot nelayan yang menghubungi majikan terlebih dahulu apabila berdepan situasi jenayah di laut juga menyebabkan pasukan keselamatan tidak dapat mengambil tindakan segera untuk mengesan pihak penjenayah.

"Keadaan ini juga memberi ruang kepada penjenayah untuk melarikan diri sebelum tindakan keselamatan dapat dijalankan tanpa penyaluran maklumat segera daripada mangsa," katanya.

Menurutnya pihak Esscom juga menegaskan sekeras-kerasnya kepada pengusaha kapal serta bot nelayan dan kapal lain yang beroperasi di perairan Esszone agar menyimpan nombor hotline operasi Esscom di kapal masing-masing.

"Ini bagi memudahkan mana-mana kru kapal atau bot nelayan menghubungi pihak Esscom apabila berlakunya kes kecemasan di laut.

"Pengusaha serta nelayan juga dikehendaki untuk memaklumkan kedudukan semasa kapal atau bot yang beroperasi kepada pusat Esscom sepanjang berada di perairan Esszone," katanya.

Beliau juga mengharapkan kerjasama semua pemilik bot dan kapal untuk memandang serius saranan ini bagi membantu pasukan keselamatan melakukan pemantauan dan berkomunikasi dengan kru kapal di lautan dari semasa ke semasa.

  • oleh
  • Advertisement