Anda di sini

Tiada panggilan penculik

Advertisement
HAZANI
HAZANI

Kerjasama Esscom, Filipina kenal pasti kumpulan KFR


KOTA KINABALU: Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan pihak berkuasa Filipina menjalankan kerjasama bagi mengenalpasti kumpulan yang terlibat aktiviti culik untuk wang tebusan (KFR) yang melarikan dua nelayan warga Indonesia di perairan Pulau Gaya, Semporna, kira-kira jam 12 pagi Selasa.

Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali berkata kedua-dua pihak kini giat berusaha mengenal pasti pihak penculik selain mengesan kedudukan kedua-dua mangsa berkenaan.

"Usaha mengenal pasti masih dijalankan dan setakat ini kita percaya kumpulan berkenaan sudah keluar dari perairan Malaysia," katanya.

Tambahnya, setakat ini pasukan keselamatan belum menerima sebarang panggilan daripada kumpulan terbabit untuk permintaan wang tebusan.

Dua nelayan masing-masing juragan Samsul Saguni, 40, serta pembantunya yang dikenali sebagai Usman Yunus, 35, dilarikan dua lelaki berpakaian gelap serta bertopeng menaiki perahu 'plywood' menggunakan bot pam, jam 12 lebih tengah malam.

Suspek yang bersenjatakan senapang jenis M16 kemudiannya menghilangkan diri di kawasan gelap manakal dua lagi rakan nelayan yang terselamat kemudiannya membuat laporan polis di Semporna kira-kira jam 2 pagi.

Dalam perkembangan lain, Hazani mengesahkan tiada sistem pengesanan dipasang pada bot nelayan dinaiki dua mangsa culik berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati bot nelayan terbabit tidak dilengkapi alat perhubungan termasuklah sistem pengesanan automatik (AIS) dan sistem pemantauan dalam kenderaan (iiVMS).

Justeru, pihaknya sekali lagi menasihatkan pengusaha kapal serta bot nelayan agar memasang sispem pengesanan pada bot masing-masing.

"Tindakan ini adalah sebagai pendekatan strategik yang boleh membantu pihak keselamatan membuat pemantauan terhadap aktiviti perkapalan di perairan Esszone," katanya.

Hazani berkata pihaknya sudah berulang kali memberi peringatan tentang kepentingan pemasangan peralatan pegesan ini malangnya sebahagian pengusaha kapal dan bot nelayan masih gagal mematuhinya.

"Tindakan kru kapal serta bot nelayan yang menghubungi majikan terlebih dahulu apabila berdepan situasi jenayah di laut juga menyebabkan pasukan keselamatan tidak dapat mengambil tindakan segera untuk mengesan pihak penjenayah.

"Keadaan ini juga memberi ruang kepada penjenayah untuk melarikan diri sebelum tindakan keselamatan dapat dijalankan tanpa penyaluran maklumat segera daripada mangsa," katanya.

Menurutnya, Esscom juga menegaskan sekeras-kerasnya kepada pengusaha kapal serta bot nelayan dan kapal lain di perairan Esszone agar menyimpan nombor hotline operasi Esscom di kapal masing-masing.

"Ini bagi memudahkan mana-mana kru kapal atau bot nelayan menghubungi pihak Esscom apabila berlakunya kes kecemasan di laut.

"Pengusaha serta nelayan juga dikehendaki untuk memaklumkan kedudukan semasa kapal atau bot yang beroperasi kepada pusat Esscom sepanjang berada di perairan Esszone," katanya.

Beliau juga mengharapkan kerjasama semua pemilik bot dan kapal untuk memandang serius saranan ini bagi membantu pasukan keselamatan melakukan pemantauan dan berkomunikasi dengan kru kapal di lautan dari semasa ke semasa.

  • oleh
  • Advertisement