Anda di sini

Politeknik KK harumkan nama Malaysia

Advertisement
ZAINAB bersama Team Fira Air semasa menyambut ketibaan mereka di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Rekimi (tiga dari kanan), Mohd. Hariz (empat dari kanan) dan Wong Wei Ming (empat dari kiri) bersama rakan-rakan dan para pensyarah Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Kota Kinabalu.
ZAINAB bersama Team Fira Air semasa menyambut ketibaan mereka di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Rekimi (tiga dari kanan), Mohd. Hariz (empat dari kanan) dan Wong Wei Ming (empat dari kiri) bersama rakan-rakan dan para pensyarah Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Politeknik Kota Kinabalu terus mencipta sejarah apabila berjaya meraih pingat emas pada Kongres dan Kejohanan Persatuan Robot Bola Sepak Antarabangsa (Fira) Roboworld ke-23 di Feng Chia University, Taichung, Taiwan pada awal Ogos lalu.

Politeknik Kota Kinabalu menyumbang satu pingat emas dalam kategori Fira Air (Autonomous Race) menewaskan tiga pasukan daripada negara China, Iran dan Indonesia.

Lebih manis, ini merupakan kali pertama Politeknik Kota Kinabalu dipilih mewakili Malaysia bagi kejohanan, setelah memenangi pertandingan dalam kategori sama di peringkat kebangsaan pada bulan Mei lalu.

Meskipun kejohanan tersebut telah hampir sebulan berlalu, namun aura dan semangat kemeriahan kejohanan tersebut masih lagi terasa oleh dua pelajar yang mewakili Politeknik Kota Kinabalu dalam kejohanan berkenaan di bawah kategori Fira Air.

Bagi Rekimi Pokia, 21, dan Mohd. Hariz Iswan Sinuin, 20, masing-masing merupakan pelajar semester 4 dan 5 dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik, pencapaian manis menyumbang emas untuk Malaysia pada kejohanan itu merupakan pengalaman yang amat berharga bagi mereka dan sukar untuk dipercayai.

“Saya sangat bersyukur dengan pencapaian ini. Namun pengalaman dan peluang lebih berharga adalah perkongsian ilmu bersama para peserta daripada negara lain khususnya daripada Iran, China dan Indonesia," kata Rekimi.

Menurut pelajar dari Kudat ini, minat mendalamnya dalam robotik timbul daripada menonton pelbagai filem barat seperti Transformer, X-Men dan sebagainya.

"Filem-filem ini sedikit sebanyak membantu memberi inspirasi kepada saya untuk menceburi bidang robotik," tambahnya lagi.

Bagi Mohd. Hariz Iswan pula, minat dalam robotik sememangnya timbul sejak dari bangku sekolah lagi dan berharap bidang ini akan terus berkembang di Malaysia.

Menurutnya, mereka mengambil masa selama tiga bulan untuk membuat persiapan ke Taiwan dan segala usaha serta masa yang dikorbankan membuahkan hasil yang amat membanggakan dan berbaloi.

“Walaupun kebanyakan masa kami tertumpu kepada persiapan untuk acara di Taiwan, iaitu selama tiga bulan, tetapi semuanya amat berbaloi. Kita perlu memberi 100% usaha kita ke dalam bidang yang kita minati dan tidak mudah berputus asa.

"Saya harap bidang robotik di Malaysia ini terus berkembang dan mengajak rakan-rakan lain untuk menceburi bidang robotik kerana inilah bidang yang akan digunapakai pada masa hadapan," kata pelajar dari W.P. Labuan ini.

Tambahnya lagi, ia berasa sangat bangga kerana dapat mengharumkan nama negara serta menaikkan nama Politeknik Kota Kinabalu khususnya.

Pada kejohanan enam hari itu, Politeknik Kota Kinabalu bersama pasukan robotik dari tiga buah politeknik Malaysia yang lain, berjaya merangkul sembilan pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa.

Tiga politeknik yang menyertai kejohanan tersebut ialah Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik Sultan Idris Sahah (PSIS) dan Politeknik Ungku Omar (PUO).

Kejohanan Fira Roboworld ke-23 ini merupakan acara tahunan yang diadakan sebagai platform pertandingan robot bola sepak serta sebagai medan pembentangan mengenai perkembangan teknologi robotik di peringkat antarabangsa.

Tahun ini merupakan kali kesembilan penyertaan Politeknik Malaysia dalam Fira Roboworld yang bersaing dengan sepuluh negara lain seperti Iran, Korea, India, Taiwan, China, Brazil, Rusia, Filipina dan Indonesia bagi merebut kejuaraan.

Terdapat lima kategori Fira Sport yang dipertandingkan di Fira Roboworld 2018 iaitu Hurocup, Androsot, Robotsot, Fira Air dan Simurosot.

Politeknik Kota Kinabalu menyertai dua kategori di bawah Fira Air iaitu Autonomous Race dan Emergency Delivery.

Penyelia pasukan Politeknik Kota Kinabalu Wong Wei Ming @ Arthur Wong berasa amat berbangga dengan pencapaian anak-anak didik beliau.

Arthur yang juga penyelaras robot Fira Politeknik Kota Kinabalu berkata, kejayaan Politeknik Kota Kinabalu adalah hasil usaha keseluruhan Pasukan Robotik Politeknik Kota Kinabalu yang melibatkan pensyarah dan pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrik, serta sokongan padu daripada pihak Pengurusan Politeknik Kota Kinabalu.

“Kejayaan yang diraih pada kejohanan Fira Roboworld ini adalah hasil kerja berpasukan di kalangan para pensyarah dan kegigihan para pelajar yang terlibat.

"Semangat kental dan perasaan tidak mudah putus asa itu adalah antara elemen penting dalam usaha meraih kejayaan, dan saya amat berbangga dengan dua anak didik saya yang berjaya membuktikan tidak ada yang mustahil sekiranya kita ada minat dan usaha," kata Wong.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Zainab Othman melahirkan rasa bangga dengan kejayaan pasukan Politeknik Kota Kinabalu di persada antarabangsa.

“Saya amat berbangga dengan kejayaan pasukan kita dalam kategori Fira Air di Taiwan, dan saya berharap kejayaan dan pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada para pelajar lain untuk turut sama berkecimpung dalam bidang ini dan seterusnya meneruskan momentum kejayaan ini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," kata Zainab.

Tambah beliau lagi, pertandingan ini secara tidak langsung membantu pelajar untuk berfikiran kreatif dalam melakukan inovasi dan mendidik para pelajar untuk memupuk tahap kesabaran yang tinggi di samping menonjolkan bakat dan kemampuan masing-masing.

Advertisement