Anda di sini

Pemikiran inovatif tangani cabaran bidang kesihatan

Advertisement
PESERTA APACPH 2018 merakamkan kenangan bersama Norazlinah dan tetamu undangan yang lain.
PESERTA APACPH 2018 merakamkan kenangan bersama Norazlinah dan tetamu undangan yang lain.

KOTA KINABALU: Perubahan pemikiran ke arah yang lebih inovatif mampu menangani cabaran yang menyekat kemajuan bidang perubatan di rantau Asia Pasifik.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sudah tiba masanya semua pihak yang berkepentingan bekerjasama atas satu platform untuk pembangunan kesihatan awam.

Menurutnya, penyelidikan saintifik yang berterusan dalam kesihatan awam mampu menghasilkan kajian yang lebih baik.

Selain itu katanya, pengamal perubatan awam juga dapat menjalani latihan yang sewajarnya serta mencapai tahap kesihatan terbaik di rantau ini.

Beliau berkata demikian sempena Perasmian Pembukaan Kali Ke-50 Persidangan Jubli Emas 'Asia-Pacific Academic Consortium For Public Health' (APACPH) 2018 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

NORAZLINAH (tiga kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang peserta APACPH pada majlis itu.
NORAZLINAH (tiga kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang peserta APACPH pada majlis itu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Norazlinah Arif.

Shafie percaya, visi APACPH untuk mendapat tahap kesihatan yang tinggi di semua negara dalam Asia Pasifik mampu tercapai.

"Saya sedar misi persidangan ini untuk menambahbaik kualiti hidup masyarakat selain menangani cabaran besar dalam kesihatan awam menerusi pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan populasi kesihatan.

"Usaha ini juga sudah tentu membawa manfaat sangat luas kepada seluruh negara di Asia Pasifik termasuklah Sabah secara khususnya," jelasnya.

Katanya, menerusi pelbagai usaha, Malaysia berjaya memperolehi pencapaian yang memberangsangkan dalam memperbaiki tahap kesihatan rakyat.

Menurutnya, Malaysia juga antara negara di rantau pasifik yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang berprestasi baik.

Beliau berkata, negara ini mempunyai sistem penyampaian penjagaan kesihatan sama rata yang merangkumi liputan perkhidmatan komprehensif.

Sementara itu Naib Canselor UMS Datuk D Kamarudin D Mudin berkata, penjagaan kesihatan sekarang perlu berinovatif untuk menangani isu semasa.

"Menerusi persidangan ini, ia mampu menjadi platform terbaik untuk menyelesaikan pelbagai isu dan cabaran dalam kesihatan awam.

"Semua pihak perlu mengambil peluang untuk mendapatkan perkembangan terkini dan belajar dari amalan semasa yang terbaik serta strategi kesihatan awam yang memberi kesan di Asia Pasifik," katanya.

  • oleh
  • Advertisement