Anda di sini

Pastikan pencegahan jenayah berkesan

Advertisement
PETER Hii berbincang dengan Mohd Azhar ketika kunjungan hormat itu.
PETER Hii berbincang dengan Mohd Azhar ketika kunjungan hormat itu.

SANDAKAN: Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Peter Hii Chang Lik meminta pihak polis menambah keanggotaan bagi membuat rondaan di pusat bandar ini.

“Ini adalah amat penting bagi memastikan usaha pencegahan jenayah di pusat bandar ini lebih berkesan dan kehadiran polis akan memberi gambaran kepada ahli masyarakat bahawa keselamatan mereka lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azhar Hamin dan Tinbalannya Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek di bilik mesyuarat Wisma Perbandaran Sandakan, pagi tadi.

Peter Hii juga meminta pihak polis agar memperhebatkan operasi dadah terutamanya dadah jenis syabu di sekitar bandar ini.

“Gejala dadah jenis syabu ini semakin menular dalam kalangan anggota masyarakat kita, oleh itu operasi penangkapan atau pencegahan perlu diperhebatkan oleh pihak berkuasa terutamanya polis,” katanya.

Beliau menjelaskan penagihan dan penyalahgunaan dadah adalah antara punca utama pelbagai kejadian jenayah seperti ragut, pecah rumah dan lain-lain.

“Oleh itu, kita harus tekad untuk memerangi musuh nombor satu negara ini sebelum ia menjadi semakin berat dan memberi kesan negatif kepada masyarakat serta melumpunkan kemajuan negeri terutamanya Bandar Sandakan,” katanya.

Dalam pada itu, Peter Hii mahu setiap ahli masyarakat daerah ini berperanan menjadi penyalur maklumat kepada polis untuk memaklumkan mengenai sebarang kejadian jenayah yang berlaku di tempat mereka dan penyalahgunaan atau penagihan dadah.

Ia kerana katanya, kerjasama erat daripada masyarakat itu amat penting bagi membantu pihak polis mengurangkan kes jenayah yang berlaku di daerah ini.

“Menerusi kerjasama dan maklumat daripada masyarakat juga dapat membantu polis bertindak lebih cepat dalam menangani kegiatan jenayah,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement