Anda di sini

Klinik Bakti ringankan beban asnaf, masjid dan pusat tahfiz

Advertisement
DR RAMLI menyerahkan sumbangan kepada salah seorang asnaf sambil diperhatikan Ustaz Saifuddin (dua kiri) dan Ustaz Ahmad (kiri).
DR RAMLI menyerahkan sumbangan kepada salah seorang asnaf sambil diperhatikan Ustaz Saifuddin (dua kiri) dan Ustaz Ahmad (kiri).

LABUAN: Klinik Bakti Labuan Sdn Bhd meneruskan program Hari Bakti Bersama Asnaf untuk tahun ketiga berturut-turut bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan bantuan, sekali gus dapat mengurangkan beban ahli keluarga golongan itu.

Pengarah Urusan Klinik Bakti Dr Ramli Tahir berkata, pada tahun ini seramai 100 orang golongan asnaf yang terdiri daripada 85 fakir miskin dan 15 saudara baru (mualaf) menerima sumbangan wang tunai RM200 setiap seorang.

“Program Hari Bakti Bersama Asnaf 2018 dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Labuan merupakan program tahun ketiga diadakan sebagai usaha syarikat kami membantu meringankan beban golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau menambah, Klinik Bakti juga menghulurkan sumbangan kepada dua masjid, tiga surau, tiga Pusat Tahfiz serta sebuah Persatuan Kebajikan Tahfiz.

Dua masjid yang menerima sumbangan fisabilillah itu ialah Masjid Bebuloh Darat dan Masjid Al Muttaqin, manakala tiga surau ialah Surau Nur Hidayah, Surau Mubarakah dan Surau Ar Rayan.

“Setiap masjid dan surau menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000,” katanya.

Sementara tiga tahfiz yang turut menerima RM1,000 itu ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Badr, Madrasah Tahfiz Al-Quran Sri Marinding dan Pusat Bimbingan Al-Quran Al Ummi serta Persatuan Kebajikan Tahfiz Labuan dan Sabah.

DR NUR ZUBAIDAH (berdiri tengah, tiga dari kanan) bersama anak-anak dari Pusat Bimbingan Al-Quran Al Ummi.
DR NUR ZUBAIDAH (berdiri tengah, tiga dari kanan) bersama anak-anak dari Pusat Bimbingan Al-Quran Al Ummi.

Dr Ramli berkata, sumbangan itu juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) Klinik Bakti dan juga salah satu kewajipan sumbangan zakat kepada golongan yang layak.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Besar Ujana Kewangan Labuan Johar Mesar, Pengarah Klinik Bakti Labuan Dr Nur Zunaidah Abdul Khanan, Pengurus MAIWP Labuan Ustaz Saifuddin Haji Md Tahir dan Pegawai Eksekutif PPZ Labuan Ustaz Ahmad Tajudin.

Advertisement