Anda di sini

Cuaca buruk jejas penduduk

Advertisement
 Anggota bomba memantau keadaan runtuhan tanah di lereng bukit Rumah Stanley Ejau, Jungkal dekat Betong semalam.
KESAN RUNTUHAN: Anggota bomba memantau keadaan runtuhan tanah di lereng bukit Rumah Stanley Ejau, Jungkal dekat Betong semalam.

BETONG: Hujan lebat disertai angin kencang yang melanda Betong bermula sekitar jam 5.30 petang kelmarin dan berlarutan selama lebih dua jam menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di sini.

Tinjauan mendapati kawasan perkampungan Melayu termasuk Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir, Kampung Masjid, Kampung Tengah dan Kampung Hilir serta beberapa kawasan yang tidak pernah berlaku banjir, terjejas sehingga turut memasuki rumah penduduk.

Turut menyedihkan kawasan pasar Betong yang didiami kaum Cina juga mengalami masalah sama sehingga ada yang terkejut dan tidak mampu berbuat apa-apa dan pasrah air melimpah ke dalam rumah mereka.

Menurut penduduk, hujan lebat disusuli air sungai yang melimpah menyebabkan kejadian banjir kilat itu.

“Terkejut melihat air naik mendadak memasuki ruang dalam rumah sehingga banyak barangan kami termasuk perabot dan peralatan elektrik tidak sempat diselamatkan.

“Air naik dengan cepat sehingga kira-kira satu kaki menyebabkan kami mulai risau dan berserah kepada takdir,” kata salah seorang penduduk terjejas.

Sementara itu, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang memantau keadaan mendapati banyak kawasan dinaiki air secara mendadak menyebabkan penduduk panik dan tidak sempat menyelamatkan harta benda.

Menurut Pegawai Operasi BBP Betong PBK1 Henry Jugah, ramai penduduk tidak menyangka kejadian itu kerana tidak pernah terjadi situasi air memasuki kawasan kediaman mereka.

“Mereka lambat bertindak menyebabkan banyak barangan musnah. Malah, ada yang langsung tidak sempat mengalihkan harta benda mereka.

 Keadaan rumah penduduk yang dimasuki air dalam kejadian di Betong kelmarin.
TERJEJAS: Keadaan rumah penduduk yang dimasuki air dalam kejadian di Betong kelmarin.

“Air turut naik mendadak ke jalan raya di kawasan sekitar pasar dan jalan menuju perumahan,” ujar Henry.

Menurutnya lagi, angin kencang turut menerbangkan atap rumah penduduk dan beberapa kemusnahan lain.

“Selain itu, kejadian atap diterbangkan angin kencang turut berlaku di Gereja Saint Augustine dan sekolah.

“Banyak pokok di sekitar bandar Betong tumbang sehingga ada yang menghalang laluan jalan raya,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk Rumah Stanley Ejau, Jungkal di sini mengambil langkah berjaga-jaga selepas runtuhan tanah disedari berlaku awal pagi semalam.

Rumah panjang 21 pintu yang didiami kira-kira 70 penghuni tersebut dibina di atas bukit dan runtuhan tanah di lereng bukit itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat dan angin kencang yang melanda Betong kelmarin.

 Keadaan salah sebuah rumah yang ditimpa pokok di Kampung Melayu Pasa, Betong semalam.
ROSAK: Keadaan salah sebuah rumah yang ditimpa pokok di Kampung Melayu Pasa, Betong semalam.

Henry berkata, pihaknya menerima laporan penduduk pagi semalam yang meminta pemantauan dibuat terhadap kesan runtuhan yang kelihatan di lereng bukit di tepi rumah panjang terbabit.

Sehubungan itu katanya, pihak bomba menasihatkan penduduk agar sentiasa berjaga-jaga dan peka keadaan sekeliling.

“Sekiranya berlaku pergerakan tanah berterusan dan keadaan runtuhan semakin serius, sila memaklumkan kepada BBP Betong.

“Selain itu, tindakan awal yang perlu dilakukan ialah pihak rumah panjang menyediakan kanvas atau kain getah untuk menutup kawasan tanah yang runtuh,” katanya.

Sementara itu, fenomena alam itu turut dipercayai menyebabkan insiden pokok tumbang yang merosakkan bahagian dapur dua rumah di Kampung Melayu Pasa dekat sini.

“Kami menerima laporan awal pagi tadi (semalam) yang memaklumkan kejadian di Kampung Melayu Pasa dekat sini di mana dua rumah rosak akibat ditimpa pokok besar yang tumbang,” ujar Henry.

Anggota bomba yang bergegas ke lokasi turut membantu memotong pokok yang tumbang selain membantu mangsa membersih dahan pokok yang menimpa bumbung rumah.

Rumah mangsa pertama, Hipni Anding melibatkan kerosakan kira-kira 10 peratus, manakala rumah mangsa kedua, Othman Abdullah mengalami kerosakan 20 peratus.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian juga belum dapat dipastikan.

  • oleh
  • Advertisement