Anda di sini

Sempat lihat kapal nelayan pasang lampu kecemasan

Advertisement
POLIS turut menjalankan siasatan di atas kapal nelayan yang disyaki menjadi lokasi berlakunya insiden penculikan.
POLIS turut menjalankan siasatan di atas kapal nelayan yang disyaki menjadi lokasi berlakunya insiden penculikan.

SEMPORNA: “Saya melihat kapal nelayan mereka memasang lampu kecemasan pada jam 1 pagi lebih, keadaan ketika itu gelap dan cuma nampak cahaya lampu,” kata nelayan Irwan Beng, 30-an.

Irwan, antara nelayan yang berada di laut untuk menangkap ikan semasa insiden penculikan juragan, 40, dan pembantu juragan, 35, di perairan Pulau Gaya, tengah malam Selasa.

Dalam kejadian itu, dua nelayan warga Indonesia disyaki diculik dua suspek bersenjata api dengan menaiki sebuah bot pam ke lokasi yang belum diketahui.

Menceritakan pengalamannya, Irwan berkata jarak antara bot yang dinaikinya dengan kapal nelayan tempat kedua-dua mangsa disyaki diculik itu berada pada jarak kira-kira 3km.

"Kira-kira jam 2 pagi, kapal nelayan mereka ada melintas berhampiran bot kami dan saya sempat memberikan isyarat lampu suluh serta bertanya hal yang berlaku, namun tidak diendahkan.

"Kapal (nelayan) terbabit terus berlalu pergi menuju ke Pekan Semporna dan ketika itu juga, saya bersama kawan baharu sahaja menurunkan pukat lengkong untuk menangkap ikan," katanya.

Beliau berkata kes penculikan itu hanya diketahuinya selepas sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) datang menghampiri bot mereka dan memberitahu kejadian yang berlaku.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan laporan kes penculikan terbabit.

Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau yang dihubungi pula memberitahu pihak mereka ada menerima makluman dan memantau rapi perkembangan kes itu, khususnya melalui pasukan keselamatan negara ini.

Siasatan kes yang dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi itu kini dibuka mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dikendalikan oleh Insp Jamal Tampak.

Berdasarkan aduan pengadu, 21, kejadian itu disedarinya berlaku ketika berehat di dalam bilik hadapan apabila lampu kapal nelayan mereka padam secara tiba-tiba.

Pengadu yang mengesyaki sesuatu berlaku, kemudiannya melihat keadaan di luar bilik sebelum mendapati ada dua lelaki yang disyaki bersenjatakan M16 berada di atas kapal mereka.

Melihat keadaan itu, pengadu terus bersembunyi di dalam bilik, sebelum keluar semula selepas kira-kira satu jam dan mendapati dua rakannya sudah tidak ada di atas kapal nelayan mereka.

Menurut rakan pengadu, kedua-dua suspek yang dikatakan menculik juragan dan pembantu juragan kapal mereka, menaiki perahu papan lapis menggunakan enjin pam (bot pam).

Sebelum insiden itu, pengadu dan rakan-rakannya berada di perairan Pulau Gaya selama tiga hari untuk menangkap ikan yang terdiri daripada 15 anak kapal termasuk juragan.

Bagaimanapun, pengadu hanya tinggal berempat sahaja semasa kejadian, kerana 11 lagi rakan mereka pergi ke tanah besar Semporna menggunakan bot ringan untuk menghantar ikan.

Berikutan aduan diterima, polis bertindak merakam percakapan pengadu dan kawannya, mengambil gambar kapal, menyiasat lokasi kejadian serta meneruskan siasatan lanjut berhubung kes terbabit.

  • oleh
  • Advertisement