Anda di sini

Maut dihempap pokok

Advertisement
 Pasukan bomba berusaha membawa mangsa keluar dari tempat kejadian.
USUNG: Pasukan bomba berusaha membawa mangsa keluar dari tempat kejadian.

KUCHING: Musim cuti sekolah bertukar tragedi hitam buat seorang bapa apabila anaknya maut dihempap pokok di air terjun Jangkar, Lundu dekat sini tengah hari semalam.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGOB) Sarawak, mangsa berusia 16 tahun dari Lundu dikatakan menemani bapanya yang bekerja sebagai jurupandu arah ke tempat popular untuk aktiviti riadah tersebut.

Jurucakap POGB Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan sekitar jam 12.30 tengah hari semalam berhubung kejadian tersebut.

Katanya, operasi mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian diketuai PBK Pathi Samsudin bersama tujuh anggota dan dua anggota polis.

"Semasa kejadian mangsa dikatakan sedang duduk seorang diri di atas batu, tiba-tiba tanah yang berada di belakangnya runtuh menyebabkan pokok yang berada di atas bukit tersebut tumbang dan menghempapnya," kata jurucakap PGOB Sarawak dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, orang awam yang berada di tempat kejadian berusaha membantu mengalihkan pokok tersebut dan mengeluarkan mangsa sebelum kehadiran pasukan bomba.

"Pada masa yang sama salah sorang pengunjung tempat tersebut yang juga seorang doktor sempat melakukan pemeriksaan awal ke atas mangsa namun mangsa tidak dapat diselamatkan akibat kecederaan dalaman yang teruk," dedahnya.

Katanya lagi doktor berkenaan juga mengesahkan mangsa meninggal di tempat kejadian.

"Pasukan bomba membawa mangsa keluar dari kawasan tersebut dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," ujarnya.

Operasi mengeluarkan mangsa di tempat kejadian ditamatkan pada jam 5.10 petang semalam.

Sehingga berita ini ditulis, identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

  • oleh
  • Advertisement