Anda di sini

Bersatu tingkatkan syiar Islam

Advertisement
SHAFIE (kiri) turut menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.
SHAFIE (kiri) turut menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.

KOTA KINABALU: Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam disaran untuk meningkatkan kerjasama dan bersatu dalam memperkukuhkan pembangunan syiar Islam di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, usaha untuk memperkukuhkan syiar Islam bukan hanya terletak pada majlis atau jabatan agama Islam.

Tetapi jelasnya, kerjasama daripada semua pihak mampu merealisasikan setiap usaha yang dijalankan bagi memastikan keupayaan terus ditingkatkan.

"Kita mahu bentuk semula badan-badan agama seperti Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) dari segi tadbir urus supaya dapat bersatu padu dengan majlis dan jabatan agama.

"Ini bagi memastikan gerakan mereka termasuklah dari segi sukarela dapat memberikan sumbangan ke arah meningkatkan syiar Islam di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni menjadi tetamu kehormat majlis berkenaan.

Shafie berkata, seiring dengan pentadbiran Malaysia baharu, sambutan Maal Hijrah juga menjadi platform dalam membentuk semula usaha pentadbiran kerajaan baharu.

Katanya, usaha berkenaan termasuklah meningkatkan perkembangan ekonomi supaya lebih ramai masyarakat dapat keluar dari kepompong kemiskinan.

"Ini yang kita mahu supaya kekayaan di negeri ini dapat dinikmati rakyat dari semua peringkat bukan hanya kelompok kecil dan tertentu.

"Kekayaan yang dinikmati ini tidak mengira golongan sama ada umat Islam atau bukan Islam demi kesejahteraan rakyat dan mengutuhkan umat.

"Bukannya dengan memberikan jawatan atau duit kerana mungkin mereka yang dapat bantuan sahaja mampu bersenang hati," jelasnya.

Beliau berkata, jika dibangunkan ekonomi untuk umum keseluruhannya, sudah tentu semua dapat nikmat dan mahu untuk membangunkan negara ini bersama-sama.

Pada majlis itu, mantan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) Datuk Matussin Awang Damit menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Sabah.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar, Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Bongsu Aziz Jaafar dan isteri Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib.

  • oleh
  • Advertisement