Anda di sini

Belia digalak ceburi bidang IT

Advertisement
 Liew (tengah) bersama-sama pemimpin masyarakat dan penduduk PPRT Kampung Karamunting merakamkan gambar sejurus selesainya majlis.
GOTONG-ROYONG: Liew (tengah) bersama-sama pemimpin masyarakat dan penduduk PPRT Kampung Karamunting merakamkan gambar sejurus selesainya majlis.

SANDAKAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong menggalakkan anak-anak muda terutama mereka melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi supaya mengambil jurusan Teknologi Maklumat (IT).

“Jurusan dalam bidang IT banyak manfaat tambahan lagi era perkembangan dunia hari ini yang menuntut sesiapa sahaja untuk celik ilmu dari segi pengetahuan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata peluang dalam bidang ini sangat terbuka luas yang melahirkan tenaga mahir dan juga boleh menjadikan seseorang yang berjaya sekiranya memanfaatkan kemahiran teknologi.

Dalam pada itu, beliau mengambil contoh usahawan online terkemuka dari China, Jack Ma yang kini dikenali ramai seluruh dunia hanya kerana memanfaatkan IT sebagai platform untuk berjaya.

“Oleh itu, saya ingin menggalakkan anak-anak muda supaya mempelajari bidang IT kerana kemahiran dalam bidang tersebut amat diperlukan lebih-lebih sekarang ini penggunaan telefon bimbit dapat dimanfaatkan melalui dalam talian.

“Oleh hal demikian, pengetahuan kita terhadap perkara ini sangat penting agar tidak ketinggalan jauh ... anak-anak muda sekarang perlu meningkatkan kemahiran mereka supaya boleh menguasai bidang ini kelak,” katanya.

Beliau menjelaskan dengan adanya ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang IT ini, kepakaran yang ada bukan saja memenuhi permintaan namun secara tidak langsung boleh menjadikan seseorang yang lebih berjaya dalam bidang keusahawanan seperti online itu.

Liew berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gotong-Royong Penduduk PPRT Kg Karamunting sempena sambutan Hari Malaysia yang ke - 55 tahun di perkarangan PPRT Kg Karamunting, dekat sini, pada Ahad.

Hadir sama Setiausaha Sulit kepada beliau Mohd Hanafi Sahih Haji Montoi, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Batu Sapi Yap Mah Chun dan Pegawai Perhubungan Parlimen Batu Sapi Adin Ismail serta Pengerusi PPRT Kg Karamunting Haji Paijo Hj Sarjono.

Pada program itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi meminta penduduk setempat sentiasa mengadakan aktiviti bergotong-royong kerana amalan seperti ini mengeratkan silaturahim masyarakat.

Liew berkata dengan bergotong-royong kawasan persekitaran taman-taman perumahan atau pun kampung akan sentiasa bersih sekaligus terhindari dari pelbagai penyakit terutama nyamuk aedes.

“Amalan yang baik seperti ini harus diteruskan kerana kebaikannya dari segi meningkatkan silaturahim dan kerjasama penduduk kampung yang secara tidak langsung menjadikan kawasan yang kita diami ini sentiasa indah seterusnya mewujudkan kehidupan yang aman dan harmoni,” katanya.

 Liew menyumbangkan sebanyak 55 unit pemadam api bagi kegunaan penduduk kampung di setiap rumah disitu.

Advertisement