Anda di sini

Gadis Sarawak tercantik

Advertisement
 Larissa diapit para pemenang dan peserta akhir Miss World Malaysia 2018.
KEBANGGAAN SARAWAK: Larissa diapit para pemenang dan peserta akhir Miss World Malaysia 2018.

KUCHING: Jelitawan dari Sarawak, Larrisa Ping dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2018 setelah berjaya menewaskan 11 peserta lain pada pertandingan akhir ratu cantik di sini, malam kelmarin.

Kemenangan gadis cantik berusia 19 tahun itu, membolehkannya mewakili Malaysia untuk merebut gelaran ratu cantik dunia pada pertandingan Miss World di Sanya, China pada 8 Disember tahun ini.

Larissa yang mempunyai impian untuk membantu kanak-kanak di kawasan pedalaman terutama dalam bidang pendidikan, menerima mahkota kejuaraan bernilai RM4 juta, wang tunai RM30,000, sebentuk cincin, selempang dan sebuah trofi.

Hadiah tersebut disampaikan para juri pertandingan akhir Miss World Malaysia 2018 iaitu Nabila Huda dan Carmen Soo.

Selain itu, Larissa turut memenangi Anugerah Ratu Fotogenik dan Anugerah ‘Top Talent’ pada majlis yang bertemakan ‘Beauty With Purpose’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Tempat kedua disandang Shannen Jade, 24, dari Kuala Lumpur yang turut memenangi gelaran 'Miss Elegance'.

Shannen membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi, selempang dan sejambak bunga.

 Larissa melambai tangan selepas dipakaikan mahkota Miss Word Malaysia 2018 di Kuching malam kelmarin.
CANTIK: Larissa melambai tangan selepas dipakaikan mahkota Miss Word Malaysia 2018 di Kuching malam kelmarin.

Manakala tempat ketiga dimenangi Naomi Sim, 26 dari Sarawak dengan menerima hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi, selempang dan sejambak bunga.

Sementara itu, pertandingan akhir Miss World Malaysia ini turut menyaksikan perebutan gelaran dan anugerah sampingan lain.

Antaranya ialah gelaran ‘People Choice’ dan 'Top Model’ yang dimenangi peserta Sarawak berusia 23 tahun iaitu Francisca Luhong James manakala Anugerah ‘Miss Personality’ dimenangi Zane Wong, 22, dari Kuala Lumpur.

Majlis itu turut dihadiri isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama isteri, Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri, Datin Zuraini Abdul Jabbar dan beberapa tetamu kenamaan lain.

  • oleh
  • Advertisement