Anda di sini

Bas hidrogen bakal beroperasi di Kuching pada Mac 2019

Abang Johari (tengah) menyaksikan Pengurus Besar PPES, Soedirman Aini (dua kanan) dan Pengurus Besar Foshan Feichi Manufacture, Jiang Yong (dua kiri) bertukar MoU bagi pembekalan bas hidrogen kepada kerajaan Sarawak, sambil disaksikan oleh Pengerusi PPES, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain (kanan) dan Pengarah Projek Foshan Feichi Manufacture, Lu Yong (kiri).

KUCHING: Tiga buah bas yang menggunakan sel bahan api hidrogen bakal beroperasi di bandar raya ini menjelang Mac tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bas tersebut akan dibekalkan oleh sebuah syarikat pengeluar dari China, Foshan Feichi Automobile Manufacture Co. Ltd.

Beliau menambah pengambilan bas tersebut sekarang masih dalam peringkat perincian, yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES).

“Sebagai perintis, kita cuba menggunakan tiga buah bas dahulu,” katanya ketika ditemu-bual, hari ini.

Terdahulu, Abang Johari menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PPES dan Foshan Feichi Automobile bagi pembekalan bas hidrogen kepada Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak Energy (SEB) juga sedang membina stesen pengisian di Bintawa sekali gus merealisasikan penggunaan bas hidrogen tersebut.