Anda di sini

Artis Warner Music dalam siri jelajah Jimba Fest Tour mulai September ini

Advertisement
 Andi Bernadee (kanan) dan Aziz Harun antara artis berbakat di bawah naungan label WMM yang semakin mencipta nama dalam industri muzik tempatan akan turut serta dalam siri jelajah kali ini.
TURUT SERTA: Andi Bernadee (kiri) dan Aziz Harun antara artis berbakat di bawah naungan label WMM yang semakin mencipta nama dalam industri muzik tempatan akan turut serta dalam siri jelajah kali ini.
 
 

WARNER Music Malaysia (WMM) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi)  melancarkan siri jelajah Jimba Fest Tour yang bakal menggegarkan enam lokasi terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia bermula September ini hingga November depan.

Jimba Fest Tour ini merupakan penjenamaan semula kepada siri jelajah kampus ‘IPT Tour’ yang dijayakan WMM sejak tahun 2012.

Penjenamaan semula nama siri jelajah kampus ini kepada nama yang lebih komersil dan mengikut trend sesuai dengan penggunaaan semasa istilah slanga ‘Jimba’ yang membawa maksud ‘berseronok atau bersuka ria’ di kalangan anak muda Malaysia.

Siri jelajah kampus yang sudah masuk tahun keenam ini merupakan suatu platform yang disediakan oleh WMM untuk membawa pengkarya seni muzik masuk ke kampus-kampus bagi mendekati demografi golongan pengguna muzik terbesar di Malaysia iaitu generasi belia.

Platform ini juga digunakan untuk memperkenalkan artis-artis baru di bawah naungan label WMM dan juga memberi peluang kepada para artis untuk mempromosikan karya terbaru mereka.

Selain daripada berhibur, siri jelajah ini turut memberi ruang kepada para artis untuk bertemu peminat dengan lebih dekat lagi.

 

Siri jelajah Jimba Fest Tour ini akan menampilkan artis-artis berbakat di bawah naungan label WMM seperti Alif, Amir Hasan, Andi Bernadee, Awi Rafael, Aziz Harun, Kaka Azraff dan Wan Shahjuddin.

Selain itu, artis-artis terkenal seperti Nora Ariffin, Datin Alyah, Altimet dan Aizat Amdan akan turut memeriahkan siri jelajah ini di lokasi-lokasi terpilih.

Sebagai permulaan, pada 16 September 2018 siri jelajah Jimba Fest Tour akan berlangsung di lokasi pertama iaitu di MesaMall, Nilai, Negeri Sembilan.

MesaMall merupakan satu-satunya lokasi luar kampus yang dipilih berikutan ianya menjadi pusat tumpuan pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi yang berdekatan, seperti Universiti Nilai (Nilai U), Universiti Antarabangsa INTI (IIU), Universiti Antarabangsa Manipal (MIU) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Selepas itu siri jelajah Jimba Fest Tour akan diteruskan ke Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, Johor pada 20 Oktober 2018, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang (26 Oktober 2018), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak (31 Oktober 2018), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah (10 November 2018) dan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka (26 November 2018).

Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai siri jelajah Jimba Fest Tour ini dan juga artis-artis di bawah naungan label WMM, anda boleh terus melayari laman sesawang rasmi Warner Music Malaysia di warnermusic.com.my.

Advertisement