Anda di sini

Aibkan masyarakat Murut, WARISAN Tenom kecam portal sabahkini2.com

Advertisement
 Marius (tengah) dan Jeffrey bersama Warisan Tenom selepas membuat laporan polis.
AIB: Marius (tengah) dan Jeffrey bersama Warisan Tenom selepas membuat laporan polis.

TENOM: Parti Warisan Sabah (WARISAN) di sini mengecam siaran portal antikerajaan sabahkini2.com yang menyiarkan berita berunsur fitnah dan mengaibkan suku kaum Murut Melalap dengan menyatakan sihir ‘lontong’ alasan menteri WARISAN takut bertemu rakyat Melalap.

Laporan dibuat di Balai Polis Tenom pada Sabtu oleh Marius Umbul dari Melalap diiringi Pegawai Media WARISAN Tenom Jeffrey Ahmad dan para pemimpin bahagian serta akar umbi parti itu di sini.

“Apa yang dilaporkan oleh sabahkini2.com adalah berniat jahat untuk menjatuhkan imej ADUN Melalap serta mempunyai agenda untuk kepentingan politik.

“Mengaitkan sihir lontong juga adalah cubaan untuk memberikan persepsi yang penduduk Melalap masih mengamalkan ilmu sihir dan ia adalah cubaan memalukan penduduk Melalap yang umum ketahui kini sudah mengamalkan kehidupan beragama,” jelasnya.

Menteri yang dimaksudkan portal terbabit ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap Datuk Peter Anthony yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Dalam laporannya, Marius menafikan wujud amalan lontong (guna-guna yang boleh menyebabkan perut busung) di Melalap dan meminta portal sabahkini2.com menarik balik siaran itu kerana jelas memfitnah Peter dan mengaibkan masyarakat Murut yang menjadi penduduk dominan di sini.

Beliau juga meminta portal itu serta pihak terlibat agar memohon maaf secara terbuka kepada Peter dan masyarakat Murut keseluruhannya.

Dalam pada itu, Jeffrey menafikan Peter tidak pernah bersama rakyat seperti yang didakwa portal itu kerana walau sibuk dengan tugas kementerian, beliau tetap meluangkan masa sekali seminggu melawat pelbagai kemudahan mendesak di sini serta menghadiri pelbagai program termasuk perayaan keagamaan.

Sementara dalam kesusahan keluarga seperti ditimpa bencana dan kematian serta majlis perkahwinan, Peter selalu memastikan ada pemimpin kanan bahagian datang mewakilinya.

Peter juga telah menyalurkan peruntukan kepada Yayasan Masyarakat Cina Tenom dan Yayasan KDM Malaysia untuk membantu anak-anak keluarga di sini yang memerlukan bantuan persekolahan serta melanjutkan pengajian tanpa mengira agama dan keturunan.

Terbaharu, beliau bersama pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pengarah Jabatan Air Sabah (JAS) meninjau pelbagai kemudahan awam yang memerlukan perhatian serius di kawasan DUN Melalap.

Siaran portal itu memetik James, 46, sebagai sumber yang menyatakan mereka selaku pengundi Melalap seperti dianak tiri selepas menang dengan taburan pelbagai janji dan ditipu hidup-hidup.

“Bukan saja janji tidak ditunai malah kalau ada majlis kahwin, sakit atau kematian, Peter tidak berkunjung sebaliknya hanya menghantar wakil,” kata James.

Manakala Rosli, 30, dipetik portal itu sebagai berkata, kononnya Peter takut ziarah penduduk sebab dimaklumkan di kawasan Melalap terkenal dengan ilmu sihir lontong.

“Mahu dicari orang yang dipetik portal itu sebab dakwaannya betul-betul menjatuhkan maruah kaum Murut khasnya kawasan Melalap,” kata Stella Wilfred dari sayap Wanita WARISAN Melalap.

Asmah Abdullah dari Kampung Uloi menegaskan Peter telah menunjukkan komitmen sebagai pemimpin kawasan Melalap yang sentiasa bertungkus-lumus dibantu para pemimpin kanannya.

Advertisement