Anda di sini

Tumpuan kepada luar bandar

Advertisement
 Abang Johari (dua kanan) menandatangani plak perasmian Taman Pantai Belawai, semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Len Talif, Awang Tengah, Abdullah serta yang lain.
RASMI: Abang Johari (dua kanan) menandatangani plak perasmian Taman Pantai Belawai, semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Len Talif, Awang Tengah, Abdullah serta yang lain.

BELAWAI: Kerajaan Sarawak akan memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar dengan menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas yang secukupnya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini termasuk mempercepatkan sambungan bekalan air ke kawasan luar bandar.

“Saya tahu, masalah kita di sini adalah bekalan air. Maka, kita dalam kerajaan negeri tidak dapat menunggu orang Melaya (kerajaan persekutuan).

“Kini kita membuat satu pembangunan bekalan air yang menyeluruh dengan peruntukan RM2.8 bilion untuk rakyat luar bandar.

“Mahu atau tidak, kita terpaksa menggunakan dana kita sendiri. Jadi sebab itu, dalam masa dua tahun ini kita mahu mempercepatkan bekalan air dan saya minta Awang Tengah (Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan) untuk membantu Dr Rundi (Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom) dalam hal ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pesta Belawai 2018, perasmian Taman Pantai Belawai dan Penanaman Tukun Tiruan ‘Reef Ball’ di Perairan Pantai Belawai-Paloh di Kampung Belawai di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusof Abd Wahab.

Abang Johari berkata, hasil perjuangan pemimpin kini dan terdahulu, Kuala Rajang dan kawasan sekitarnya mengalami pembangunan berbanding 30 hingga 40 tahun lalu

Katanya, semasa pertama kali melawat Belawai di Kuala Rajang ketika menjadi Menteri Muda Pertanian dan Pembangunan Masyarakat 30 tahun lalu, kawasan tersebut tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap.

“Tetapi, hari ini kita melihat kawasan ini telah berubah, seluruh kawasan Tanjung Manis berubah dan dalam pertengahan 80-an, kita mula membangunkan Tanjung Manis, tempat perindustriannya dan juga rancangan jangka panjang pembangunan di Kuala Rajang.

“Ini adalah suatu perubahan yang begitu besar dan kerajaan sangat prihatin dengan rakyat,” ujarnya yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi dan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak.

Terdahulu, Len Talif dalam ucapannya berkata, selain perasmian Pesta Belawai 2018 turut berlangsung ialah majlis penanaman 600 tukun tiruan ‘reef ball’ perairan Pantai Belawai-Paloh.

“Justeru, jutaan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri kerana beliau telah menyokong dan bersetuju menyumbang dana sebanyak RM10 juta melalui Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli untuk ‘Projek Reef Ball Sarawak’ pada kali ini.

“Dana tersebut akan digunakan oleh agensi pelaksana projek iaitu Sarawak Forestry Corporation untuk membeli, mengangkut dan menanam 2,400 unit tukun ‘reef ball’ di tempat-tempat strategik di perairan pantai Sarawak dari Muara Tebas ke Tanjung Sirik serta pengurusan projek tersebut dari 2018 hingga 2020,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement