Anda di sini

Siasatan terperinci dibuat elak insiden kematian gajah berulang

Advertisement
CHRISTINA (tiga kiri) menyampaikan anugerah wanita kepada salah seorang penerima, turut kelihatan Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Norazlinah Arif (dua kiri).
CHRISTINA (tiga kiri) menyampaikan anugerah wanita kepada salah seorang penerima, turut kelihatan Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Norazlinah Arif (dua kiri).

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menyiasat dengan lebih terperinci agar insiden kematian gajah di Sabah tidak berulang.

Timbalan Ketua Menteri Christina Liew berkata, melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, satu jawatankuasa khas akan dibentuk untuk melihat perkara itu agar mampu mengurangkan kes kematian haiwan berkenaan.

"Setiausaha tetap kementerian saya, Datu Rosmadi Datu Sulai akan mengetuai jawatankuasa khas ini. Jabatan Hidupan Liar Sabah telah melakukan segala usaha di bawah kapasitinya untuk menyelesaikan konflik yang wujud di antara manusia dan gajah.

"Kita telah menawarkan sejumlah RM120,000 kepada pekerja ladang yang boleh memberikan maklumat kepada jabatan ini tetapi sehingga kini tiada yang berani tampil.

"Saya yakin ada pekerja tahu siapa yang bunuh gajah-gajah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Hari Wanita 2018, di sini, malam Jumaat.

Beliau berkata, sebagai menteri bertanggungjawab, pihaknya telah mengarahkan kesemua pemilik ladang sawit untuk memungut semula semua perangkap yang dipasang dalam kawasan ladang masing-masing.

Sekiranya diperlukan, kerajaan akan menggunakan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 untuk tujuan itu.

"Buat ketika ini, kerajaan hanya mahu semua pemilik ladang memberikan kerjasama penuh kepada kita dalam usaha menghentikan kes kematian gajah.

"Saya tidak menuduh mana-mana pihak membunuh gajah yang malang itu, tetapi apa yang saya tekankan sekiranya haiwan itu mati di atas tanah pemilik, maka pemilik tanah berkenaan perlu memberikan penjelasan munasabah kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah," katanya.

Christina menjelaskan pemilik ladang bertanggungjawab memasang pagar untuk melindungi tanah atau ladang mereka.

Katanya, ia adalah tanggungjawab pemilik dan jangan sesekali membunuh haiwan yang berkeliaran dalam ladang atau merosakan hasil tanaman.

"Segera menghubungi pegawai jabatan hidupan liar berkaitan perkara itu yang mungkin memberikan ancaman kepada nyawa atau harta benda.

"Anda juga perlu berhubung dengan pegawai berkenaan sekiranya gajah berkenaan telah menyebabkan kematian, kecederaan atau kerosakan terhadap harta benda disebabkan oleh haiwan terpelihara itu," katanya.

  • oleh
  • Advertisement