Anda di sini

‘Semalam Di Malaya’ daripada MPO pada 15 & 16 September ini

Advertisement
 (Dari kiri) Liza Hanim, Aishah, Rachel Guerzo Trio dan Ahmad Muriz Che Rose.
BARISAN ARTIS: (Dari kiri) Liza Hanim, Aishah, Rachel Guerzo Trio dan Ahmad Muriz Che Rose.

SEMPENA Hari Malaysia yang akan diraikan pada 16 September ini dan bagi meneruskan keraian ulang tahun ke-20 tahun penubuhannya, Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO) akan mempersembahkan sebuah konsert bertemakan Semalam Di Malaya di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada 15 September (Sabtu) jam 8.30 malam dan 16 September (Ahad) jam 3.00 petang.

Sepanjang 20 tahun kewujudannya, MPO kekal komited untuk menyajikan hanya yang terbaik dalam muzik klasikal di dewan konsert pertama yang didedikasikan untuk genre ini.

Namun, MPO telah melakukan perubahan arus muzik dengan menyajikan genre muzik lain seperti pop, jazz, runut bunyi filem, tradisional dan kontemporari untuk khalayak yang lebih luas.

Konsert ini bakal menyaksikan MPO memberi penghormatan kepada ikon muzik terdahulu dalam persembahan karya klasik gubahan orkestra.

Generasi lama bakal mengimbau kenangan silam melalui legasi muzik ini manakala generasi muda akan didedahkan dengan keindahan khazanah lagu-lagu lama dengan sentuhan muzik simfoni yang segar.

MPO bakal mempersembahkan lagu-lagu yang melambangkan kekayaan warisan tempatan dan membawa tema sejagat seperti cinta, pengorbanan dan harapan. Antara lagu-lagu cinta yang bakal menghiasi konsert ini ialah ‘Air Mata Berderai’, ‘Tunas Kasih’ dan ‘Gadis Idaman’ (ciptaan Alfonso Soliano), ‘Sayang Di Sayang’ dan ‘Setangkai Kembang Melati’ (Zubir Said).

Karya patriotik yang akan dipersembahkan MPO ialah ‘Tanah Pusaka’ (Ahmad Merican), ‘Putera Puteri’ (Jimmy Boyle), ‘Perajurit Tanah Air’ dan ‘Berjaya’ (Saiful Bahri).

Konsert ini juga akan disemarakkan dengan lagu-lagu malar segar seperti ‘Ibu’ dan ‘Jelingan Manja’ (Ahmad Jaafar) dan karya ciptaan P Ramlee seperti ‘Hujan Di Tengahari’ dan ‘Joget Malaysia’.

Kesemua lagu ini mendapat sentuhan penggubah-penggubah muda seperti Leonard Yeap, Luqman Aziz, Syed Sharir Faisal Syed Hussain, Jenny Chin dan Vivian Chua.

Konsert ini akan diserikan artis-artis tempatan tersohor seperti Aishah, Liza Hanim, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo Trio yang akan mempersonakan hadirin dengan lontaran vokal yang gemersik.

Sebelum ini, MPO pernah berkolaborasi dengan Musly pada tahun 1999 dan Aishah pada tahun 2009 di DFP manakala Rachel, yang juga merupakan cucu Alfonso Soliano, pernah mengadakan sebuah konsert jazz secara solo di pentas yang sama pada tahun 2010.

Ini merupakan kolaborasi pertama MPO dengan Liza Hanim.

Konsert Semalam Di Malaya akan dipimpin oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose.

Konsert ini merupakan kelangsungan siri konsert muzik tradisional persembahan MPO di DFP selepas Irama Warisan Kita (2009), Keroncong Merdeka (2012) dan Malaysia Tanah Airku (2014) yang mendapat sambutan baik dari penggemar muzik tempatan.

Advertisement