Anda di sini

Pendidikan politeknik kian dapat sambutan

Advertisement
TAJUL (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Yusof sambil diperhatikan Naim (kanan).
TAJUL (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Yusof sambil diperhatikan Naim (kanan).

SANDAKAN: Pendidikan politeknik kini semakin mendapat tempat dan sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata setakat ini terdapat 36 kampus politeknik di seluruh Malaysia dan tiga daripadanya terletak di Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

“Penubuhan politeknik telah membuka peluang kepada para belia di negeri ini untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-7 Politeknik Sandakan Sabah (PSS), di sini pada Sabtu.

Katanya, kehadiran Revolusi Perindustrian ke-4 (Industri 4.0) memerlukan negara menyediakan modal insan yang mampu menghadapi cabaran teknologi baharu.

“Oleh itu, mahasiswa di politeknik dan seluruh IPTA/IPTS perlu lebih sedar dan mempersiapkan diri bagi menghadapi persekitaran yang semakin kompleks,” katanya yang pernah bertugas selama lapan tahun di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) termasuk menjadi pengerusi Jawatankuasa Tatatertib.

Menurutnya, kemunculan revolusi industri itu pastinya akan membawa pelbagai teknologi baharu dan menggegarkan kebiasaan serta memberi kesan kepada semua disiplin ilmu, aspek ekonomi dan sektor industri.

Justeru dalam konteks itu katanya, kita tidak boleh berdiam diri atau hanya berpeluk tubuh sahaja sebaliknya perlu masuk ke gelanggang dan menjadi 'game-changer'.

Beliau menegaskan, mahasiswa abad ke-21 mesti memperkukuhkan diri dengan lima perkara yang digariskan sebagai kemahiran unggul oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) iaitu mahir menyelesaikan masalah yang kompleks, mahir sebagai pemimpin dan ahli pasukan yang berkesan serta ‘berfikir di luar kotak’.

Selain itu, mereka (graduan) juga perlu mahir berkomunikasi secara lisan dan bertulis, memiliki kepintaran emosi dan memiliki nilai integriti dan moral yang terpuji.

Mengulas lanjut, Yusof berkata kemahiran unggul dalam konteks komunikasi bukan sahaja mahir dalam Bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, tetapi kebolehan menguasai pelbagai bahasa lain juga amat penting seperti Mandarin, Korea, Jepun, Jerman dan sebagainya yang terkenal dengan pelbagai industri berteknologi tinggi.

YUSOF (tengah) menyantuni para graduan yang menerima diploma masing-masing sempena konvokesyen itu.
YUSOF (tengah) menyantuni para graduan yang menerima diploma masing-masing sempena konvokesyen itu.

“Para belia di negara ini perlu dididik untuk menghadapi masa hadapan yang semakin mencabar, bukan sahaja melengkapkan mereka dengan kemahiran dan asas etika yang mantap, malah memperkasa daya tahan dan meningkatkan diri keusahawanan bagi meneroka pelbagai peluang baharu,” katanya yang juga pernah menjadi doktor perubatan dan usahawan sebelum menceburi bidang politik.

Katanya, Malaysia perlu meningkatkan 2.5 kali ganda enrolmen dalam bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) menjelang tahun 2025 melalui Program Transformasi Ekonomi.

Oleh itu tambahnya, Kolej Komuniti, Kolej Vokasional dan Politeknik hendaklah berusaha menyediakan pendidikan tinggi berteraskan TVET bagi meningkatkan kemahiran demi memenuhi permintaan industri dan menambah peluang untuk kemajuan kerjaya.

“Enrolmen program TVET akan berkembang dengan ketara, menerusi kerjasama dengan industri untuk memastikan penawaran memenuhi permintaan,” katanya sambil memuji inisiatif dan komitmen pihak Politeknik Sandakan yang telahpun mengorak langkah berkolaborasi dengan dan pelbagai industri dan berharap ia dapat diperluaskan ke peringkat antarabangsa.

Yusof berharap konvokesyen itu bukanlah penamat kepada pembelajaran dan penimbaan ilmu, tetapi menjadi pemangkin untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran ke peringkat lebih tinggi kerana sesungguhnya pembelajaran adalah berterusan sepanjang hayat.

“Kesediaan untuk terus belajar merupakan budaya yang amat penting kerana pengalaman pembelajaran yang diperolehi di satu-satu institusi sahaja adalah tidak mencukupi,” katanya sambil menyarankan agar mereka (graduan) terus menimba ilmu dan kemahiran baharu terutamanya dalam menghadapi pasaran pekerjaan pada masa depan.

Katanya, peningkatan produktiviti dan daya saing negara memerlukan tenaga kerja kreatif, berinovasi dan berintegriti.

Beliau berharap kejayaan yang dicapai di politeknik itu akan dijadikan nilai tambah untuk memperbaiki kehidupan sosio ekonomi diri, sekali gus dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negeri tercinta.

Sambil mengucapkan tahniah atas kejayaan para graduan, beliau menegaskan bahawa kejayaan itu dipengaruhi oleh empat faktor penting iaitu pelajar itu sendiri, ibu bapa, para pensyarah dan juga pihak kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan dan memberi peluang untuk mereka belajar.

Yusof yang juga Adun Sindumin berkata kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu menambah peluang melanjutkan pendidikan khasnya dalam bidang TVET kerana di Sabah sahaja terdapat lebih 50,000 lepasan SPM setiap tahun dan hanya separuh daripadanya dapat memasuki IPTA atau IPTS dan selebihnya harus diberi peluang memasuki aliran pendidikan kemahiran dan teknikal.

Di akhir ucapannya, beliau berpesan agar para graduan terus meneroka pelbagai peluang baharu kerana kejayaan tiada hadnya dan apabila telah berjaya kelak, “jangan lupa para pensyarah Politeknik Sandakan, jangan lupa ibu bapa, jangan sombong dan bila jadi ‘orang besar’, jangan lupa sekolah lama dahulu."            

Turut berucap pada majlis itu ialah Pengarah Politeknik Sandakan Tajul Ariffin Mohamed Arif.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) Kementerian Pendidikan Tinggi Dr Mohammad Naim Yaakub, Timbalan Pengarah Politeknik Sandakan Dr Zulkefle Ismail, Ketua Jabatan Agroteknologi dan Bio-Industri Tony Ontok serta Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti Helen Lau @Abd Kadir.

Seramai 350 graduan Diploma Agroteknologi, Diploma Akuakultur dan Diploma Pengurusan Pelancongan ambilan sesi Jun dan Disember 2017 menerima diploma masing-masing dan empat daripadanya turut menerima anugerah kecemerlangan akademik dan kokurikulum (Jabatan).

Mereka ialah Nurul Izzahtul Hazwani Asmarah, 22, Selesca Pilin, 21, (kedua-duanya menerima anugerah pengarah), Fairul Ronnachai Eh Sin, 22, dan Sherly Shelvy Sidol, 21.

  • oleh
  • Advertisement