Anda di sini

Malaysia sasar antara 10 destinasi dunia menjelang 2019

Advertisement
 Mohamaddin Ketapi ketika melawat ruang pameran selepas Perasmian MATTA Fair di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam. MATTA Fair edisi 46 kali ini yang bermula semalam melibatkan 1,336 gerai pameran dengan kerjasama 250 organisasi. — Gambar Bernama
PASTI MENARIK: Mohamaddin Ketapi ketika melawat ruang pameran selepas Perasmian MATTA Fair di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam. MATTA Fair edisi 46 kali ini yang bermula semalam melibatkan 1,336 gerai pameran dengan kerjasama 250 organisasi. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasar kedudukan antara 10 destinasi pilihan utama pelancong menjelang 2019, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, beberapa usaha telah diambil oleh kementerian untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi mesti dilawati dan akan melaksanakan strategi baharu bagi menyediakan persekitaran yang kondusif  bagi pemain industri ini menarik dan meningkatkan pertumbuhan pelancongan.

“Menjadi matlamat kami untuk mempertingkatkan kedudukan negara selepas disenaraikan pada  kedudukan ke-12 pada tahun lepas. Kita perlu lebih bersaing dalam peringkat antarabangsa.

“Kita akan menjalinkan kerjasama yang lebih baik dengan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk mempromosi Malaysia dan berbincang dengan syarikat penerbangan tempatan untuk mengadakan lebih banyak penerbangan terus ke Malaysia,” katanya pada persidangan akhbar selepas melancarkan  MATTA Fair 2018 di PWTC di sini semalam.

Mohamaddin berkata berbekalkan pengalaman, inovasi, kualiti produk dan standard perkhidmatan yang cemerlang, sektor pelancongan mampu membawa negara jauh ke hadapan dan menjadikan Malaysia sebuah destinasi pilihan kepada pelancong.

Beliau berkata, industri pelancongan di Malaysia telah meningkat dengan ketara dan sasaran ketibaan pelancong luar ialah 26.4 juta dengan jumlah perbelanjaan RM84.9 billion pada tahun ini.

Dari Januari hingga April 2018, Malaysia merekodkan 8.4 juta ketibaan pelancong antarabangsa yang menyaksikan peningkatan 37.2 peratus dari China, India (21.2 peratus), Korea Selatan (26.5 peratus), Kanada (28 peratus) dan Amerika Syarikat (23 peratus).

MATTA Fair edisi 46 ini diadakan mulai 7-9 Sept dengan pembukaan 1,336 petak niaga yang menawarkan  promosi pelancongan antarabangsa dan dalam negara serta promosi dan diskaun termasuk 86 petak niaga menawarkan pakej umrah. — Bernama

Advertisement