Anda di sini

Kerjasama Sabah-Singapura dalam sektor pendidikan, pelancongan dan pelaburan

Advertisement
SHAFIE (kanan) berbual mesra dengan Teo ketika pertemuan itu.
SHAFIE (kanan) berbual mesra dengan Teo ketika pertemuan itu.

KOTA KINABALU: Sabah menjalinkan kerjasama jangka panjang yang lebih erat dalam sektor pendidikan, pelancongan serta pelaburan dengan Singapura.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, hubungan yang sudah terjalin itu akan diperkuatkan dengan kerjasama yang bakal dilaksanakan pada masa depan.

"Perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean penting kepada kita untuk membangunkan apa juga jenis kerjasama.

"Saya rasa kita memerlukan pelabur khususnya dari negara jiran seperti Singapura... kita kena luaskan skop pelabur yang datang kerana tidak boleh hanya bergantung kepada satu pelabur sahaja," katanya ketika sidang media di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, perbincangan mengenai beberapa perkara bukan sahaja menyentuh sektor pelancongan tetapi juga pendidikan dan vokasional.

Katanya, Sabah kini mempunyai Kementerian Pelajaran dan Inovasi sendiri, justeru kerjasama yang diadakan itu adalah satu perkara perlu diterokai untuk kebaikan bersama.

"Kita boleh belajar banyak daripada Singapura kerana mereka sangat maju dalam bidang ini. Saya akan menghantar satu pasukan untuk menerokai dan meningkatkan kerjasama ini.

"Perkara yang sama juga dari sektor pelancongan Sabah dan Singapura mampu mewujudkan situasi menang-menang bagi membangunkan industri itu untuk manfaat bersama dalam wilayah ini," katanya.

Sementara itu, Teo berkata perjumpaan bersama Shafie turut membincangkan beberapa perkara yang berpotensi untuk dikembangkan antara kedua-dua pihak.

Katanya, Sabah dan Singapura mempunyai minat dalam hubungan ekonomi, perdagangan, pelaburan serta pelancongan.

"Sabah mempunyai produk pelancongan yang menarik dan kita berharap mampu meningkatkan kedatangan rakyat Singapura ke Sabah selain mendapatkan peluang pelaburan dalam sektor berkenaan.

"Perbincangan dalam sektor pendidikan dan vokasional juga akan dikembangkan memandangkan beliau (Shafie) ingin menyediakan golongan muda yang berkemahiran tinggi," katanya.

Teo juga menjemput Shafie untuk datang ke Singapura bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai kerjasama yang bakal diadakan selain untuk menguatkan lagi hubungan sedia terjalin.

  • oleh
  • Advertisement