Anda di sini

Hal ehwal wanita diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan

Advertisement
CHRISTINA (tiga kanan) menyampaikan anugerah wanita kepada salah seorang penerima, turut kelihatan Norazlinah (empat kanan).
CHRISTINA (tiga kanan) menyampaikan anugerah wanita kepada salah seorang penerima, turut kelihatan Norazlinah (empat kanan).

KOTA KINABALU: Portfolio hal ehwal wanita dipertanggungjawabkan di bawah Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang dahulunya adalah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, penjelasan itu diharap mampu menghilangkan kekeliruan dan kemusykilan kepada kaum wanita khususnya ahli pertubuhan bukan kerajaan wanita dan masyarakat awam umumnya.

"Kesejahteraan rakyat merangkumi kesejahteraan wanita dan secara langsung adalah pembangunan bagi wanita.

"Di bawah Kementerian berkenaan, terdapat sebuah agensi kerajaan yang mengurus hal ehwal wanita di Sabah iaitu Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA), yang merancang dan melaksana program pembangunan wanita," katanya ketika menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Hari Wanita 2018, di sini, malam Jumaat.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Christina Liew.

Shafie berkata, terdapat juga Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), sebuah badan penasihat dan badan pemikir bagi kerajaan negeri dalam isu-isu wanita.

"Saya memberi jaminan bahawa kerajaan negeri menerusi kementerian itu akan terus mendukung dan melaksanakan Dasar Wanita Negara serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita.

"Sebagai kerajaan yang prihatin, kita akan sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan dan pandangan bagi tujuan penambahbaikan serta kemajuan wanita keseluruhannya," katanya.

Beliau yakin perancangan pembangunan wanita di Malaysia oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melihat satu transformasi menggalakkan bagi mengarusperdanakan pembangunan wanita serta mengintegrasikan wanita dalam pembangunan negara secara holistik.

Katanya, Sabah sudah pasti tidak akan ketinggalan dalam menikmati manfaat besar hasil daripada anjakan paradigma pembangunan wanita yang menjadi tunjang belakang pembangunan sosio-ekonomi negara.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Norazlinah Arif ketika mewakili menterinya berkata, Sabah kini mempunyai Indeks Kesejahteraan Wanita.

Katanya, indeks itu bertujuan mengukur tahap kesejahteraan wanita di Sabah dan ia akan dijadikan panduan dalam merancang serta menetapkan dasar pembangunan program wanita di Sabah nanti.

"Saya difahamkan indeks ini akan disiapkan sebelum hujung tahun ini, syabas dan terima kasih kepada MPWS khususnya pasukan penyelidik dan penyedia indeks ini di sini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement