Anda di sini

AMK Sarawak sokong padu Najwan sebagai Ketua AMK

Advertisement
 Haziq (empat kiri) bersama ketua-ketua AMK di Sarawak menyatakan sokongan padu kepada Najwan sebagai ketua baharu mereka.
SOKONG NAJWAN: Haziq (empat kiri) bersama ketua-ketua AMK di Sarawak menyatakan sokongan padu kepada Najwan sebagai ketua baharu mereka.

KUCHING: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak menolak calon ketua mereka yang berpuak-puak demi masa depan parti yang lebih kukuh.

Ketua AMK Santubong Haziq Abdul Aziz berkata, berteraskan prinsip itu, AMK Sarawak akan memberi sokongan padu kepada calon Ketua AMK Najwan Halimi sebagai ketua baharu pergerakan pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kita tidak mahu pemuda yang terikat dengan kabilah-kabilah tertentu, tetapi mahu pergerakan yang insklusif.

“Jika ahli-ahli pemuda mempunyai kabilah-kabilah, bagaimana hendak bergerak ke hadapan. Apa-apa keputusan terpaksa ikut orang atasan,” katanya ketika ditemui pada majlis Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ahli-ahli PKR di sini, semalam.

Menurutnya, Najwan mempunyai visi yang jelas iaitu menyatupadukan ahli-ahli AMK seluruh negara dengan slogan sepakat membawa berkat.

Pergerakan pemuda jelasnya, perlu berada di barisan hadapan demi memastikan kelangsungan parti.

Malah, pemuda perlu bergerak proaktif membantu jentera parti terutama pada pilihan raya bagi memastikan kemenangan calon-calonnya.

Beliau memberi contoh AMK Sarawak yang sebelum ini kelihatan begitu lemah terutama dalam menggerakkan jentera pilihan raya.

“AMK Sarawak sangat lemah, organisasi yang tidak ada disiplin dan tidak terlatih sehingga jentera pilihan raya pun tidak ada.

“Ini berpunca daripada pimpinan pemuda yang lemah,” katanya.

Pemilihan Ketua AMK membabitkan tiga penjuru yang akan dijalankan pada Oktober ini.

Najwan bakal berdepan dengan Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin dalam merebut jawatan tersebut.

Advertisement