Anda di sini

Siapkan rancangan cegah banjir

Advertisement
 Kerja-Kerja Membaiki Saluran Sungai Tawau Bypass di Kg Pasir Putih. 
MA’MUN (kanan) dan Sarifuddin (kiri) berharap Kerajaan Negeri dapat menyegerakan Rancangan Mencegah Banjir: Kerja-Kerja Membaiki Saluran Sungai Tawau Bypass di Kg Pasir Putih. 

TAWAU: Wujud keperluan mendesak untuk Rancangan Mencegah Banjir: Kerja-Kerja Membaiki Saluran Sungai Tawau Bypass di Kg Pasir Putih supaya disiapkan segera.

Utusan Borneo difahamkan, Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan menyambung semula kerja-kerja terbabit pada Januari 2019.

Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata berkata projek bernilai RM20 juta itu sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan dijalankan pada 2016.

“Projek membesar, mendalam dan meluruskan sungai ini perlu disiapkan sekaligus, termasuk pemberian pampasan kepada 59 rumah terlibat, bukan berperingkat-peringkat.

“Wang pampasan RM7 juta kepada penduduk kampung terlibat berdasarkan penilaian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga wajar untuk diserahkan serentak,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai itu berkata penduduk terlibat akan menerima angka pampasan berbeza dari RM40 ribu hingga RM300 ribu (mengikut penilaian JPS).

Menurutnya, Ketua Menteri dan menteri berkaitan diharap dapat mempertimbangkan pelaksanaan projek itu dilaksanakan dan disiapkan segera demi membela nasib rakyat.

“Pada tanggapan saya, pelaksanaan projek dalam RMK11 ini gagal jika tidak sekaligus dilaksanakan, kerana masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk akan terus berulang.

ROMBONGAN Ma’mun dan Sarifuddin melawat kawasan terjejas banjir kilat di Blok A, Kg Pasir Putih yang dinaiki air sehingga setinggi kira-kira lima meter.
ROMBONGAN Ma’mun dan Sarifuddin melawat kawasan terjejas banjir kilat di Blok A, Kg Pasir Putih yang dinaiki air sehingga setinggi kira-kira lima meter.

“Pelaksanaannya tidak harus mengikut fasa kerana ‘hujan datang’ tanpa menunggu projek ini disiapkan, bencana alam seperti musibah banjir datang tanpa mengira masa,” katanya.

Sarifuddin berkata demikian semasa meninjau keadaan kawasan terjejas banjir kilat di Kg Pasir Putih Blok A, bersama Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman, petang Jumaat.

Pada masa sama, JPS diminta memeriksa, menyelia dan menyelenggara sistem penggera Stesen Amaran Banjir di Kg Pasir Putih kerana didapati tidak berfungsi dengan baik.

“Penduduk kampung mendakwa alat penggera itu hanya berbunyi selepas kira-kira satu jam air banjir yang melanda surut, dan saya fikir perkara ini perlu dilihat serius,” katanya.
 
Menyentuh hal berkaitan, Ma’mun bersimpati dengan penduduk yang tinggal di kawasan terjejas banjir kilat terbabit dan akan berusaha mencari langkah penyelesaian terbaik.

“Keadaan banjir sudah banyak kali berlaku, malah ada penduduk di Kg Pasir Putih Baharu yang mengadu sudah tiga kali menghadapi banjir kilat sepanjang tahun ini sahaja.

“Buat masa ini kita akan rujuk kepada pihak atasan (Kerajaan Persekutan dan Negeri) untuk mencari solusi tuntas termasuklah Majlis Tindakan Bencana Negara,” katanya.

Ma’mun berkata pihaknya juga akan berusaha mencari jalan supaya sebuah bot dapat disediakan di kawasan Parlimen Kalabakan untuk kegunaan pada waktu kecemasan.

Utusan Borneo turut menyertai tinjauan kedua-dua Wakil Rakyat terbabit di Kg Pasir Putih serta sekitar Merotai Besar seperti Kg Jagung, Kg Kijang dan Kg Langsat.

  • oleh
  • Advertisement