Anda di sini

Nestlé Malaysia dan GPF lancar projek ‘Safe Water, Safe Communities’

Advertisement
__alt__

KUCHING: Nestlé Malaysia berganding bahu dengan Yayasan Keamanan Global (Global Peace Foundation – GPF) semalam untuk melancarkan projek ‘Safe Water, Safe Communities’ bagi membekalkan air bersih kepada kumpulan masyarakat yang memerlukan.

Menurut kenyataan akhbar Nestlé semalam, inisiatif tersebut akan membantu penduduk di lima perkampungan di Tasik Chini, Pahang untuk memasang sistem penapisan air yang akan membekalkan air bersih kepada lebih 650 orang.

“Sistem penapisan air ini menggunakan teknologi rekaan Swiss yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, yang mampu membasmi bakteria dan menyediakan bekalan air yang selamat dan bebas bahan kimia kepada masyarakat.

“Air ibarat nadi kehidupan dan bekalan air yang bersih dan selamat ialah hak asasi manusia.

“Ia merupakan keperluan untuk masyarakat hidup dan berkembang maju. Walau bagaimanapun, terdapat penduduk pedalaman di Malaysia yang mempunyai sumber bekalan air bersih yang terhad kerana lokasi mereka yang jauh dan kurang kelengkapan untuk membersihkan air mereka.

“Kami sukacita untuk melaksanakan projek ini bersama rakan usaha sama kami, GPF, yang akan membolehkan kami meningkatkan kualiti hidup masyarakat ini dengan membekalkan air bersih secara lestari,” kata Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan, Nestlé Malaysia Nirmalah Thurai dalam kenyataan akhbarnya semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GPF Dr Teh Su Thye berkata, pihaknya gembira berganding bahu dengan Nestlé dan menerajui projek itu untuk membekalkan air bersih kepada masyarakat Orang Asli yang kurang menerima kemudahan.

“Berbekalkan komitmen kukuh Nestlé terhadap usaha membekalkan air yang bersih dan selamat, kami harap kerjasama kami akan dapat memberikan kesan positif kepada masyarakat dan insan di seluruh Malaysia,” katanya.

Usaha sama antara GPF dan Nestlé Malaysia bakal menyaksikan pemasangan sistem penapisan air di beberapa perkampungan, diikuti oleh aktiviti penglibatan masyarakat dan program latihan Air, Pembersihan dan Kebersihan (WASH) untuk kanak-kanak dan dewasa bagi meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya mengutamakan kebersihan diri.

Kerja pemasangan penapis dan aktiviti penglibatan masyarakat akan diadakan dari bulan September hingga Disember nanti.

Advertisement