Anda di sini

3.9 juta hektar hutan kekal Sabah

Advertisement
MASHOR dan pegawai kanan JPS dan agensi kerajaan bergambar bersama para peserta.
MASHOR dan pegawai kanan JPS dan agensi kerajaan bergambar bersama para peserta.


Rizab sebagai hutan simpan, kawasan perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar


SANDAKAN: Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah, Mashor Mohd Jaini berkata sebanyak 53 peratus atau 3.9 juta hektar tanah telah dirizabkan secara kekal sebagai hutan simpan, kawasan perlindungan dan kawasan pemuliharaan hidupan liar melalui dasar pengurusan hutan lestari. 

“Kerajaan negeri juga telah memutuskan supaya 30 peratus daripada kawasan hutan hujan tropika di Sabah diwartakan sebagai kawasan yang dilindungi sepenuhnya (Totally Protected Areas) menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata angka keluasan kawasan yang dilindungi sepenuhnya telahpun mencapai hampir 1.9 juta hektar atau 25 peratus dari keluasan negeri Sabah iaitu 18 kali ganda keluasan negeri Pulau Pinang pada tahun 2017.

“Ini adalah amat membanggakan bagi negeri Sabah kerana menjadi negeri yang utama di Malaysia di dalam program perlindungan dan pemuliharaan hutan hujan tropika di dunia,” katanya semasa merasmikan Environmental Education Race (EERace) 19 Coast Edition 2018: Kursus Pendidikan Alam Sekitar Untuk Guru-Guru Sekolah Menengah (Penolong Kanan Ko-Kurikulum) Negeri Sabah di Rainforest Hall, Rainforest Discovery Centre (RDC) disini, pagi kelmarin.

Mashor memberitahu salah satu contoh terbaik iaitu Hutan Simpan Deramakot yang merupakan kawasan hutan hujan tropika pertama di dunia yang diiktiraf d ibawah 'Forest Stewardship Council Standard' pada tahun 1997.

“Pengiktirafan bertaraf antarabangsa ini diberikan oleh 'Forest Stewardship Council' iaitu sebuah organisasi yang mempromosikan tanggungjawab bersama terhadap pengurusan hutan dunia,” katanya.

Selain itu juga, beliau berkata tapak Ramsar terbesar di Malaysia yang meliputi seluas 78 ribu hektar yang terletak di Kinabatangan.

“Namun begitu, terdapat cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pengurusan hutan mampan. Antaranya ialah kadar pulangan yang rendah, kos pemuliharaan hutan yang tinggi, pendudukan haram di tanah hutan simpan, projek-projek ‘hantu’ dalam hutan simpan, pemilikan tanah dalam hutan simpan, pembalakan haram, kebakaran hutan dan sebagainya,” jelasnya.

Mashor menegaskan adalah amat penting bagi kita untuk mempunyai kesedaran tentang usaha-usaha konservasi yang telah dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), jabatan-jabatan serta agensi lain dalam melindungi dan menguruskan hutan untuk generasi akan datang.

Sementara itu, beliau turut menyentuh peranan JPS dalam pendidikan alam sekitar berkata  sejak JPS terlibat dalam ‘Sustainable Forest Management’ jabatan ini telah berusaha memberi kesedaran tentang kepentingan mengurus hutan yang terdapat di negeri Sabah.

“Salah satu adalah penubuhan RDC sebagai sebuah pusat Pendidikan alam sekitar. Kini, JPS melalui RDC bukan sahaja menganjurkan program-program berkaitan perhutanan semata-mata tetapi telah bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Sabah Environmental Education Network (SEEN), WWF-Malaysia untuk menjayakan program-program alam sekitar termasuk program penghijauan sekolah.

“RDC juga menubuhkan ‘Sepilok Junior Ranger’ yang dibuka kepada anak-anak kakitangan jabatan dan Jabatan Hidupan Liar yang berumur 9 hingga 17 tahun. Ahli-ahli ‘Sepilok Junior Ranger’ diberi pendedahan dan pembelajaran mengenai Pendidikan alam sekitar serta dilatih untuk mengurus dan menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti persidangan dan perkemahan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 31 orang guru Penolong Kanan (PK) Kokurukulum dan wakil-wakil PK Kokum dari 28 buah sekolah serta tiga buah pejabat pendidikan daerah, lima pemerhati dari pelbagai agensi atau jabatan dan empat lagi pemerhati dari Pulau Pinang terlibat dalam EERace 19 yang merupakan kursus pendidikan alam sekitar yang direkabentuk oleh Rainforest Discovery Centre (RDC), Jabatan Perhutanan Sabah sejak tahun 2005.

Peserta ini telah dibahagi kepada lima kumpulan dan dibagi tugasan yang melibatkan lokasi seperti Ulu Segama Malua, Hutan Simpan Deramakot, Ladang Pamol, Gua Gomantong dan lain-lain.

  • oleh
  • Advertisement