Anda di sini

Kumpulan Public Bank catat untung sebelum cukai RM3.55 bilion bagi setengah pertama 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bagi setengah tahun pertama yang berakhir pada 30 Jun 2018, Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.55 bilion, peningkatan sebanyak 5.5 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2017.

Keuntungan bersih milik pemegang-pemegang saham meningkat sebanyak 8.6% kepada RM2.80 bilion.

Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Datuk Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, Public Bank berupaya mengekalkan momentum perniagaan yang baik dalam setengah tahun pertama tahun 2018.

“Keuntungan yang lebih tinggi bagi tempoh itu dipacu terutamanya oleh pertumbuhan dalam perniagaan pinjaman dan depositnya, didorong oleh pertumbuhan dalam pendapatan bukan faedah sebanyak 4.9 peratus.”

“Keteguhan perniagaan yang berterusan terus meletakkan Kumpulan Public Bank dalam kedudukan kompetitif yang kukuh, dengan  pulangan ekuiti bersih berada pada 15 peratus. Nisbah kos kepada pendapatan Kumpulan sebanyak 33.1 peratus dan nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar sebanyak 0.5 peratus juga kekal yang terbaik dalam industri perbankan dalam negeri.”

“Memandangkan Kumpulan Public Bank terus mencatat prestasi yang cemerlang, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 32 sen sesaham, yang akan menghasilkan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM1.24 bilion,”katanya.

Dividen interim  pertama  itu  akan  dibayar  pada 19 September 2018  berdasarkan  tarikh  kelayakan dividen pada 7 September 2018.

Advertisement