Anda di sini

Perpaduan kaum tonggak kekalkan kemerdekaan

Advertisement
MADIUS (empat dari kiri) menyampaikan sijil kepada Kontinjen Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
MADIUS (empat dari kiri) menyampaikan sijil kepada Kontinjen Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

TUARAN: Perpaduan kaum dan toleransi adalah tonggak utama dalam mengekalkan kemerdekaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, hanya daripada kesatuan, perpaduan dan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum sahaja negara dapat mencapai pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik yang berterusan.

"Oleh itu, sebagai rakyat yang cinta pada negaranya, cinta pada keharmonian dan perpaduan bangsanya, seharusnya mempunyai kekuatan minda serta jati diri dalam menghadapi pelbagai cabaran kini.

"Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk memastikan kemakmuran dan kemajuan terus dikecapi agar tidak terjebak dalam konflik politik seperti dihadapi beberapa negara luar.

"Oleh itu, rakyat harus bersatu padu mengukuhkan perpaduan sedia ada untuk sama-sama Sayangi Malaysiaku ini bagi memastikan kita menikmati kemakmuran dan kesejahteraan negara berdaulat," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berucap demikian sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Masyuarakat Pekan Kiulu hari ini.

Selepas majlis perasmian, Madius turut menyempurnakan pelepasan lebih 30 kenderaan yang menyertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

Sebanyak 22 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan Persekutuan dan pertubuhan badan bukan kerajaan menyertai perbarisan sambutan itu.

Dalam pada itu, Jabatan Penerangan Daerah Tuaran juga tidak ketinggalan mengadakan Pertandingan Keceriaan Bulan Kemerdekaan Peringkat Daerah bagi menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan tahun ini.

Pejabat Daerah Kecil Tamparuli muncul johan Kategori Bangunan Kerajaan manakala naib johan Tabika Perpaduan C/D Taman Telipok Ria dan tempat ketiga Jabatan Kerja Raya Tuaran.

Selain itu, johan bagi kategori Institut Pengajian Tinggi pula dimenangi oleh IPG Kampus Kent dan johan kategori pintu gerbang oleh Kitapol Recreation Centre.

Turut hadir, Pegawai Daerah Tuaran Sofian Alfian Nair, wakil Pengarah Penerangan Sabah Wasrin Zakaria, Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Dzulbaharin Ismail, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli Celestinus Lawanding, Pegawai Penerangan Bahagian Pantai Barat Selatan Peter Tong dan Pegawai Penerangan Daerah Tuaran Malina Jamarin.

Advertisement