Anda di sini

Lelaki disyaki rogol anak direman lanjut

Advertisement

MIRI: Mahkamah Sesyen memerintahkan tempoh reman ke atas seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki merogol anak kandungnya yang berusia 12 tahun dilanjut empat hari lagi.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Steve Ritikos setelah mendengar permohonan reman lanjut yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Noor Rahimah Hashim dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya Rahimah memberitahu, suspek telah direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur jenayah dan tempoh reman tamat semalam.

Bagaimanapun katanya, memandangkan siasatan lanjut masih belum dapat disiapkan dalam tempoh itu, justeru polis memohon reman dilanjutkan tujuh hari lagi.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman lanjut empat hari ke atas suspek sehingga 9 September ini.

Berdasarkan permohonan reman terdahulu Rahimah memberitahu, pada 26 Ogos lalu seorang wanita telah membuat laporan di Balai Polis Batu Niah.

Dalam aduannya, pengadu, 37, mendakwa sekitar jam 9.30 malam, 25 Ogos lalu, ketika berada di sebuah rumah panjang di Sungai Sebubu, Ulu Niah, beliau diberitahu salah seorang wanita di rumah panjang terbabit bahawa seorang lelaki yang tinggal di sebuah pondok berhampiran ladang di Lamaus Ulu telah merogol anak kandungnya yang berusia 12 tahun.

Menurut pengadu, lelaki yang dimaksudkan itu merupakan anak saudaranya.

Beliau yang berasa kasihan terhadap mangsa kemudian tampil membuat laporan polis.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 3.10 petang, 28 Ogos lalu, polis berjaya menahan seorang lelaki di sebuah rumah kebun di kawasan Lemaus Ulu, Niah kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Advertisement