SANDAKAN: Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am, Bahagian Sandakan sedang mengesan keluarga atau waris kepada seorang kanak-kanak perempuan berumur 6 tahun yang ditinggalkan ibu kandungnya.
Pelindung Erdianna Kanin berkata kanak-kanak terbabit yang dilahirkan pada 30 Julai 2012, ditinggalkan oleh seorang wanita kepada seorang awam di Lot 7, Blok M, Tingkat 3, Taman Sejati semasa dia berusia satu minggu.
Wanita berkenaan yang dikenali dengan nama Wisne Kassim kemudiannya menghilangkan diri sejurus menyerahkan kanak-kanak itu.
Sehubungan itu, orang awam terbabit merujuk kes itu kepada pegawai pelindung di Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am, Bahagian Sandakan dan seterusnya membuat laporan polis pada 3 Ogos 2018 setelah dinasihatkan untuk berbuat demikian.
Erdianna berkata sesiapa yang mengenali kanak-kanak berkenaan ataupun waris diminta tampil untuk membantu siasatan kes itu.
Sebarang maklumat boleh menghubungi beliau di Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am, Bahagian Sandakan melalui talian 089-668494/667821/667133.