Anda di sini

Isu minyak sawit dibincang

Advertisement
JUNZ (enam dari kanan) menerima cenderahati daripada Teresa (lima dari kiri), diperhatikan Stephen (lima dari kanan), Ahmad Kushairi, Sanath, Julia, Alan serta pegawai kanan lain.
JUNZ (enam dari kanan) menerima cenderahati daripada Teresa (lima dari kiri), diperhatikan Stephen (lima dari kanan), Ahmad Kushairi, Sanath, Julia, Alan serta pegawai kanan lain.

KOTA KINABALU: Menteri Industri Utama Teresa Kok, yang berada di sini untuk lawatan kerja, telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Stephen Wong pada Khamis untuk membincangkan isu berkaitan minyak sawit.

Pertemuan itu diadakan untuk memberi taklimat kepada dua menteri negeri ini mengenai skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang akan diwajibkan bagi ladang dan pekebun kecil di seluruh negara mulai 1 Januari 2020. Ia mula dilaksanakan pada Januari 2015.

"Saya harap perbincangan ini membuahkan hasil dalam erti kata bahawa kementerian saya bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Persijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dapat memberi taklimat kepada Junz dan Stephen mengenai objektif skim persijilan. Maklum balas mereka adalah positif.

"MSPO adalah skim persijilan yang dimandatkan oleh Kerajaan Malaysia yang mengambil kira aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar dalam pengeluaran minyak sawit lestari. Ini juga akan memberitahu pembeli global bahawa minyak sawit kita adalah berkualiti, mampan, mengikut prosedur kerja yang selamat dan amalan pertanian baik," katanya.

Teresa menjelaskan skim pensijilan MPSO diperkenalkan untuk memenuhi permintaan global bagi minyak sawit yang mampan dan ia juga akan membantu mengukuhkan pasaran Malaysia di seluruh dunia, membuka pasaran baharu bagi pengeluar minyak sawit Malaysia serta penjenamaan minyak sawit Malaysia sebagai premium dan mampan.

"Kita mahu mendapatkan bantuan menteri-menteri di negeri ini dalam memastikan pekebun kecil di Sabah mendapat pensijilan itu. Adalah penting bagi mereka untuk berbuat demikian agar tidak menjejaskan pemasaran sawit mereka ke kilang-kilang," katanya.

Menurutnya, Junz memaklumkan bahawa secara prinsip Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan skim MSPO di Sabah.

"Apabila kita mendapat pengesahan rasmi daripada Kerajaan Negeri, kita boleh meneruskan penubuhan jawatankuasa bersama bagi pelaksanaan skim MSPO di Sabah," katanya.

Pada masa ini, kira-kira 20 peratus daripada jumlah kawasan perladangan di seluruh negara telah disahkan MSPO.

Sehingga Julai 2018, 5.21 peratus daripada 2,267,716 hektar ladang pekebun kecil di seluruh negara telah diperakui. Di Sabah, sehingga Julai, hanya 2,613.25 hektar atau 1.2 peratus ladang pekebun kecil telah mencapai pensijilan MSPO.

Turut hadir, Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Kushairi Din, Ketua Pegawai Eksekutif MPOCC Dr Sanath Kumaran, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah Hajah Julia Lamdin, Senator Alan Ling, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan industri Makanan Dr Mariana Tinggal, Rakam Sijim (setiausaha politik Junz) serta para pegawai kanan lain.

  • oleh
  • Advertisement