Anda di sini

Bersih, cantik galak pelancong datang Malaysia

Advertisement
MOHAMADDIN KETAPI
MOHAMADDIN KETAPI

LAHAD DATU: Malaysia mesti bersih dan cantik dalam menggalakkan lebih ramai pelancong antarabangsa ke negara ini selari dengan program Tahun Melawat Malaysia akan datang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata perkara itu mengambil contoh negara yang bersih dan cantik seperti Jepun menjadi pilihan pelancong berkunjung dan berseronok.

"Bila kawasan pelancongan itu bersih, cantik orang seronok dan rasa sihat untuk datang dan sebab itu kita (kementerian) mahu semua pihak termasuk pegawai tempatan bekerjasama menjaga kebersihan daerah-daerah serta bandar-bandar di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat Lahad Datu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata bagi meningkatkan kemasukan pelancong, kementeriannya mewujudkan pelbagai inisiatif antaranya program menggalakkan penerbangan langsung daripada luar negara  ke destinasi misalnya ke Kota Kinabalu.
    
"Baru-baru ini AirAsia menyediakan penerbangan terus  dari Bangkok, Thailand ke Kota Kinabalu dan ini sekali gus membantu meningkatkan sektor pelancongan di Sabah.

"Kementerian juga akan berunding penerbangan lain untuk masuk ke Sabah termasuk ke kawasan pantai timur negeri ini ," katanya lagi.

Di samping itu, Mohamaddin turut memuji peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang menjalankan tugas sangat baik sehingga merekodkan sifar insiden seperti culik di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

"Masyarakat juga tidak merasa takut atau bimbang tetapi kita melihat aman dan damai, justeru kita harap semua gambaran positif ini menggalakkan lagi pelancong ke Sabah dan di ESSZone," katanya.

Sementara itu, beliau mahu penduduk Lahad Datu menyelami tema Sayangi Lahad Datu sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu untuk bersama merancakkan pembangunan setempat.

"Apabila kita sayangi Lahad Datu, masyarakat perlu bekerjasama dengan pegawai kerajaan dalam mengubah lanskap Lahad Datu ke arah baharu dan cantik untuk dikunjungi pelancong," katanya.-Bernama

Advertisement