KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) selama dua hari berakhir semalam.
Menurut BNM, pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan.
“MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,” menurut bank pusat dalam kenyataan semalam.
Mesyuarat MPC itu adalah kali kelima bagi tahun ini, dan kedua yang dipengerusikan oleh Gabenor BNM yang baharu dilantik, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
BNM akan mengadakan mesyuarat MPC seterusnya pada 8 Nov, 2018.
BNM berkata, bagi Malaysia, gangguan bekalan yang dihadapi sektor perlombongan dan pertanian telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang lebih sederhana pada suku kedua 2018.
Dari segi permintaan, pertumbuhan terus disokong oleh kegiatan sektor swasta serta rangsangan tambahan daripada eksport bersih.
Pada masa akan datang, penggunaan swasta, yang telah dirangsang oleh langkah pelepasan cukai, akan terus didorong oleh kenaikan berterusan dalam upah dan guna tenaga.
“Aktiviti pelaburan dijangka didorong oleh pengembangan berterusan kapasiti pengeluaran dalam sektor-sektor utama, khususnya industri berorientasikan eksport, didorong oleh permintaan yang menggalakkan serta usaha meningkatkan automasi.
“Perbelanjaan sektor awam, bagaimanapun, dijangkakan memberikan kesan terhadap pertumbuhan, sehubungan dengan langkah kerajaan untuk menyusun semula perbelanjaannya mengikut keutamaan,” menurut BNM.
Bank pusat berkata, sektor luaran akan terus mendapat manfaat daripada momentum pertumbuhan global yang mampan.
Dalam masa terdekat, BNM berkata, ekonomi negara berdepan risiko pertumbuhan yang lebih perlahan akibat ketegangan perdagangan yang semakin ketara, prestasi lemah sektor perlombongan dan pertanian yang berlarutan serta ketidakpastian berhubung beberapa dasar dalam negara.
“Namun, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia diunjurkan terus berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh,” kata BNM.
Mengenai inflasi keseluruhan, BNM menjangkakan pada bulan-bulan seterusnya tahun ini dan tahun 2019, inflasi keseluruhan dijangkakan meningkat sedikit setelah mengambil kira kesan pelaksanaan langkah-langkah dasar terhadap faktor kos dalam negara.
“Namun, kesan pelaksanaan dasar cukai penggunaan baru-baru ini ke atas inflasi keseluruhan adalah bersifat sementara dan akan luput menjelang akhir 2019.
“Inflasi asas pula dijangka kekal stabil secara relatif,” menurut BNM, dan menambah inflasi keseluruhan mencatatkan kadar 0.9 peratus pada Julai 2018. — Bernama