Anda di sini

PM gesa lebih banyak penyelidikan tanaman lain

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menjalankan penyelidikan ke atas tanaman yang boleh dimajukan menjadi industri berjaya sama seperti minyak sawit dan getah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pokok kelapa sawit dan getah datang dari negara asing tetapi dibangunkan di Malaysia untuk menjadi komoditi eksport utama negara.

“Penyelidikan lebih banyak tanaman boleh menghasilkan malahan lebih banyak penggunaan bagi tanaman lain yang kita boleh tanam di negara ini,” katanya pada pelancaran Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Kesembilan (IRGCE 2018) di sini, semalam.

Turut hadir ialah Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.

Dr Mahathir berkata Malaysia telah membangunkan perladangan sawit dan getah menerusi kaedah yang tidak didapati di kebanyakan negara lain.

“Bagaimana cara tanaman ini diurus dan dieksploitasikan itulah yang diambil kira. Lebih banyak idea bagaimana untuk mengeksploitasikan semua produk ini, lebih baik bagi kita dan lebih banyak wang yang kita boleh peroleh,” katanya.

Beliau juga optimistik industri getah akan terus berkembang disokong oleh penyelidikan dan pembangunan (R&D) meskipun dominasi oleh industri minyak sawit.

“Kita telah membangunkan banyak teknik penorehan getah dan menanam klon yang memberikan kita hasil lebih baik. Varian terkini pokok getah juga menghasilkan lebih banyak susu getah walaupun saiznya lebih kecil berbanding varian sebelumnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata penyelidikan dan pembangunan juga membantu mewujudkan produk baharu seperti sarung tangan getah dan perabot daripada kayu getah bagi memastikan kesinambungan industri getah.

“Terdapat peluang bagi Malaysia untuk terus menghasilkan getah dan mencipta penggunaan baharu bagi getah.

“Saya jangka industri ini boleh terus bertahan dan menghasilkan berbilion sarung tangan pada masa depan dan menyumbang kepada kekukuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata kerajaan berjanji untuk kembali semula ke era Malaysia diperbadankan di mana negara dianggap sebagai satu perbadanan yang besar dan kerajaan serta sektor swasta saling berganding bahu bagi manfaat negara.

“Bukanlah kerajaan tidak pentingkan diri. Jika kita bantu anda mendapatkan lebih banyak wang, ia adalah kerana 26 peratus daripada keuntungan anda adalah milik kerajaan,” katanya.

Beliau juga berkata dengan membantu sektor swasta meraih keuntungan yang besar, hasil kerajaan juga akan berkembang.

“Dengan itu, kita ada wang untuk sokong industri, rakyat dan menyediakan tadbir urus yang baik,” katanya.

Pameran sarung tangan getah terbesar di dunia itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, menarik penyertaan 213 pempamer dari 14 negara termasuk Malaysia, China, Amerika Syarikat, Thailand, Taiwan, Singapura, Indonesia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom. — Bernama

Advertisement