
KOTA KINABALU: Seorang pengusaha restoran dikenakan denda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan mengupah pekerja pendatang tanpa izin (PTI) dan membenarkan imigran haram berada dalam premis.
Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Nihma Johny, 26, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan pertama, Nihma dikenakan denda RM30,000 atas kesalahan mengupah pekerja asing dari Filipina iaitu Ajim Sahasal, 21, Nurisa Latif, 19, dan Piah Latif, 15, yang tidak memiliki permit kerja sah.
Kejadian berlaku pada 17 April jam 10.20 pagi di Restoran Arif, Lot 21 pusat komersial fasa 2, Pekan Papar.
Dia didakwa mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum dibawah akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya bagi setiap pekerja yang diambil bekerja.
Selain itu, tertuduh didakwa membenarkan lelaki warga Filipina Amir Sahasal, 28, berada di dalam premis, bilik sewa tingkat atas kedai di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Dia didakwa melanggar peraturan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63, boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) di bawah akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Untuk itu, dia dikenakan denda RM5,000 atau penjara 12 bulan bagi setiap migran yang ditemui dalam premis.
Nihma bagaimanapun merayu mahkamah supaya meringankan hukuman terhadapnya kerana dia masih memiliki tanggungan dan meminta kebenaran membayar denda secara ansuran.
Mahkamah membenarkan permohonan tertuduh membayar denda berkenaan secara tiga kali ansuran, dengan bayaran permulaan sebanyak RM5,000 pada Rabu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Sabrina Jinius, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.