
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dikenakan hukuman 11 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi, di sini kerana memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine.
Hakim Datuk Nurchaya Hj Arshad membuat keputusan itu terhadap Mukim Tamang, 53, selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) akta yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan.
Mengikut pertuduhan, Mukim didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 56.36 gram di tempat letak kereta, hadapan Borneo Spa Karambunai Manggatal jam 2.30 petang pada 26 April 2016.
Dadah berkenaan ditemui dalam beg plastik berwarna hitam sewaktu pemeriksaan polis di lokasi kejadian.
Tertuduh yang diwakili peguam Hamid Ismail memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan tertuduh bekerja sendiri dan mempunyai tanggungan lapan orang anak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Gan Peng Kun menegaskan, hukuman setimpal harus dikenakan kepada tertuduh.
Terdahulu, tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pendakwaan kes pada 7 Ogos lepas, dan mahkamah memerintahkan dia terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.