Anda di sini

Empat penguatkuasa JPJ direman enam hari

Advertisement
KEEMPAT-empat tertuduh berjalan masuk ke Mahkamah Majistret, sambil diiringi pegawai SPRM.
KEEMPAT-empat tertuduh berjalan masuk ke Mahkamah Majistret, sambil diiringi pegawai SPRM.

KOTA KINABALU: Empat penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman enam hari bermula hari ini (Rabu), bagi membantu siasatan berhubung kes mengeluarkan lesen memandu tanpa mengikut prosedur sah.

Perintah reman terhadap keempat-empat individu itu dikeluarkan Majistret Afiq Agoes di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semua individu yang berumur lingkungan 26 hingga 29 tahun itu adalah pembantu penguatkuasa JPJ yang bertugas di cawangan Kota Kinabalu, Kota Belud dan Tuaran.

Menurut Pegawai Pendakwa SPRM Faliq Basiruddin, keempat- empat individu itu ditahan di pejabat SPRM pada Selasa, bagi mendapatkan keterangan mengenai dakwaan terbabit.

Katanya, tertuduh juga didakwa menerima suapan berjumlah RM2,200 hingga RM3,000 untuk proses pengeluaran lesen memandu tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya.

Untuk itu, SPRM melakukan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009, dan mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh ditahan reman sehingga 10 September ini.

Terdahulu, Pegawai Penyiasat SPRM Pulau Pinang Mohd Zahari Zainon membuat pemohonan reman itu, dibantu oleh Mohd Faliq, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement