Anda di sini

Sarawak bangunkan 100,000 hektar tanaman kelapa

Advertisement
 Uggah (tengah) menyaksikan Alvin (tiga kiri) dan Jeremy (tiga kanan) bertukar MoU.
KERJASAMA: Uggah (tengah) menyaksikan Alvin (tiga kiri) dan Jeremy (tiga kanan) bertukar MoU.

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasar untuk membangunkan 100,000 hektar tanaman kelapa di negeri ini bagi menjadikan Sarawak antara pengeksport utama kelapa.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk merealisasikan sasaran tersebut.

“Kita sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk menanam kelapa di seluruh negeri,” katanya sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak yang diwakili Jabatan Pertanian Sarawak dengan Jaya Tiasa Holdings Berhad dan Carus Eco Plants Sdn Bhd.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata tahun lepas, terdapat seluas 12,642 hektar kawasan tanaman kelapa di Sarawak, yang sebahagian besarnya diusahakan pekebun kecil.

Daripada itu, katanya Sarawak hanya mampu mengeluarkan sebanyak 3,000 biji kelapa sehektar setahun iaitu lebih rendah berbanding Semenanjung Malaysia sebanyak 6,561 biji kelapa sehektar setahun.

“Maka, terdapat keperluan untuk kita membangunkan industri kelapa bagi memenuhi permintaan dalam pasaran eksport dan domestik,” katanya.

Sementara itu, MoU tersebut adalah untuk menjalin kerjasama antara semua pihak yang terlibat dalam pembekalan kelapa berkualiti bagi industri kelapa.

Selain itu, ia juga bertujuan mempromosikan serta memasarkan kelapa ke pasaran eksport dan domestik termasuk bertukar pengetahuan dan teknologi inovatif dalam industri kelapa.

Bagi Jaya Tiasa Holdings Berhad, pelannya adalah menyasarkan menanam kelapa Matag pada skala besar untuk menghasilkan kelapa tua yang akan diproses menjadi santan dan minyak kelapa dara.

Salah satu daripada strategi adalah untuk menubuhkan model ladang kelapa dalam kawasan seluas 100 hingga 150 hektar di Tanjung Manis menggunakan amalan pertanian moden.

Manakala Carus Eco Plants Sdn Bhd yang memfokuskan penanaman kelapa pandan akan memulakan ladang perintisnya di kawasan seluas 140 hektar di Jalan Betong/ Tanjung Assam dengan melibatkan seramai 42 pemilik tanah.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Pemangku Pengarah Pertanian Sarawak Dr Alvin Chai, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Tiasa Holdings Berhad Datuk Wong Sie Young dan Pengerusi merangkap Pengarah Carus Eco Plants Sdn Bhd Jeremy Sim Hui Yii.

  • oleh
  • Advertisement