Anda di sini

Penduduk bantah tanah adat dijadikan tapak pelupusan sampah

Advertisement
 Benson (tiga kiri) bersama sebahagian penduduk Kampung Mangaris Darat dan sekitarnya membantah pengukuran 100 ekar tanah adat untuk dijadikan tapak pelupusan sampah.
BANTAH: Benson (tiga kiri) bersama sebahagian penduduk Kampung Mangaris Darat dan sekitarnya membantah pengukuran 100 ekar tanah adat untuk dijadikan tapak pelupusan sampah.

KOTA MARUDU: Lebih 2,000 penduduk Kampung Mangaris Darat dan sekitar, 18km dari sini, membantah pengukuran tanah adat nenek moyang mereka seluas 100 ekar di atas bukit, bersebelahan padang ragut Jabatan Haiwan untuk dijadikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai tapak pelupusan sampah.

Mantan pengerusi JKKK yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak ‘Mangaris Bantah’ Benson Gampawi berkata mereka membantah dan menentang langkah PBT itu bukan kerana anti kerajaan tetapi kerana kelangsungan hidup dan masa depan masyarakat perkampungan terlibat menolak pencemaran.

“Hari ini, kami bangkit membantah, kami berdiri menentang kerana cadangan PBT ini hanya menjejaskan kesihatan penduduk, sumber air, merampas hak penduduk dan menggugat masa depan anak-anak penduduk,” katanya selepas mempengerusikan Jawatankuasa Mangaris Bantah di Balai Raya Kampung Mangaris Darat pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Tobilung Sabah (TOBISA) Janis Kansirong, Ketua Kampung Mangaris Darat Motinggol Sigoh dan mantan pengerusi JKKK Ulu Kukut Kota Belud, Maicrol Elang, Apin Lapeh serta beberapa anggota polis.

Benson berkata sejak desas-desus tanah adat 100 ekar itu dicadangkan sebagai lokasi pelupusan sampah pada tahun 2015, mereka telah membantah secara aman dan menghantar surat bantahan kepada PBT berkenaan.

“Bantahan ini juga telah kami panjangkan kepada pelbagai jabatan kerajaan di Kota Marudu termasuklah Pejabat Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar untuk menyatakan asas bantahan kami berkenaan enakmen hutan negeri, tapi nampaknya pihak berkaitan masih meneruskan cadangan mereka.

“Saya bagi pihak Jawatankuasa Bertindak Mangaris Bantah meminta jasa baik Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) agar campur tangan dan meneliti secara mendalam kemungkinan berlakunya ketirisan kuasa sehingga bantahan pengukuran tidak diendahkan dan wujudnya pengukuran semula pada minggu lalu,” katanya.

Beberapa kampung berdekatan yang menerima impak buruk secara langsung daripada pelupusan sampah itu ialah Mangaris Darat, Mangaris Laut, Nalapak, Bukit Lalang, Tonsom dan Pancur.

Kampung lain yang terjejas pencemaran kumbahan sampah menerusi sungai-sungai kecil dalam daerah Kota Belud ialah Ulu kukut, Mantanau,  Timbang, Kukut, Timbang Mangaris dan Lugu.

“Menjadikan Kampung Mangaris sebagai tapak pelupusan sampah adalah satu idea mengarut dan tidak berperikemanusiaan,” kata Benson.

Menurut Maicrol, tindakan seumpama itu akan menjejaskan kesihatan penduduk dan pencemaran kepada sumber air mereka menerusi tadahan air serta empangan paip graviti perkampungan sekitar.

Katanya, kewujudan tapak pelupusan sampah itu nanti akan menyebarkan kekotoran sampah melalui pencemaran udara, pencemaran tanah dan penghapusan pokok-pokok yang menjadi pelindung kepada tadahan air sejak lama dahulu.

Sementara Janis berkata, pihaknya difahamkan sebelum terbentuknya Malaysia, nenek moyang keturunan Dusun Tobilung sudah mendiami Kampung Mangaris dan begitu juga sebelum wujudnya agensi Pembangunan Perhutanan Sabah (SAFODA), nenek moyang mereka sudah bermastautin di kawasan itu.

“Tanah yang hendak diambil oleh pihak berkenaan adalah tanah adat penduduk Kampung Mangaris Darat yang juga tanah pusaka khusus untuk penduduk  Mangaris.

“Atas alasan kelulusan SAFODA, kerajaan tempatan dan PBT cuba merampas tanah adat keturunan Tobilung, tidak cukup pula dengan tindakan Safoda menghalang peluang penduduk meningkatkan ekonomi melalui program Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), sekarang PBT terbabit mahu merampas tanah adat Dusun Tobilung.

“TOBISA akan sentiasa campur tangan untuk mempertahankan tanah adat pusaka masyarakat Tobilung dengan apa cara sekalipun kerana ini adalah tanah tumpah darah bangsa kami, ini tanah keluarga kami, ini pusaka kami... Mangaris bantah,” katanya dengan tegas.

Advertisement