Anda di sini

Kerajaan pastikan cadangan tingkat gaji minimum dilaksana

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memastikan cadangan bagi meningkatkan kadar gaji minimum di Sabah dapat dilaksanakan agar mampu menarik lebih ramai anak tempatan untuk bekerja.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan faham bahawa cadangan itu akan memberikan tekanan khususnya kepada majikan atau pengusaha di sini dari segi keupayaan mereka.

“Bagaimanapun, kita perlu memastikan perkara ini dapat diselesaikan dan diatasi. Saya berharap gaji minimum dapat ditingkatkan bagi menarik lebih ramai anak Sabah untuk bekerja.

“Ini kerana, kadang-kadang mereka tertarik kerana gaji yang bakal diterima itu tinggi... kalau kadar gaji statik sahaja, susah untuk menarik pekerja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Program Kembara Kerjaya Sabah 2018, di sini pada Ahad.

Beliau berkata sebagai pekerja pula, usaha yang diberikan perlu setimpal, bukan hanya sekadar bekerja sahaja sebaliknya perlu memberikan sumbangan kepada perniagaan atau syarikat majikan.

Sekiranya sumbangan dapat diberikan kepada majikan maka syarikat itu akan mengalami kemajuan seterusnya gaji pekerja boleh ditingkatkan.

“Karnival yang dianjurkan ini adalah baik yang mana, sebanyak 2,000 peluang pekerjaan berjaya disediakan pihak swasta.

“Saya berharap belia kita tidak memilih pekerjaan, terimalah tidak kira kerja itu berat atau ringan...asalkan selamat dan ditawarkan gaji untuk memenuhi keperluan harian,” katanya.

Shafie juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan menyusun semula biasiswa yang disediakan kepada pelajar berdasarkan bidang diperlukan dalam pasaran kerja.

Katanya, ia bagi memastikan apabila pelajar itu tamat pengajian nanti, bidang yang diceburi itu adalah keperluan diinginkan dalam industri.

Dalam pada itu, berkaitan isu pelantikan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), beliau menjelaskan perkara itu tidak perlu disuarakan memandangkan kerajaan telah meletakkan seorang yang berkemahiran dan berkebolehan bagi menerajui badan berkenaan.

“Perkara yang sama juga berlaku dalam jabatan air kita, kita yakin mereka ini mempunyai kebolehan dan pengalaman.

“Ketika zaman Barisan Nasional (BN), ramai orang Sarawak diberi peluang menjadi jutawan ketika Musa Aman menjadi ketua menteri... tauke-tauke dari Sarawak tidak bising pun.

“Sekarang ini bising. Dia (Datuk Peter Hii) telah menjadi penduduk tetap di Sabah selama 50 tahun, kalau kita mempersoalkan demi bangsa maka itu akan menjadi masalah.

“Terdapat juga individu berketurunan orang putih kini berkhidmat sebagai senator,” katanya.

Advertisement