Anda di sini

Diadili jua akhirnya

Advertisement
 Tertuduh memakai baju lokap dikawal ketat semasa dibawa ke Kompleks Mahkamah Miri semalam.
DITANGKAP AKHIRYA: Tertuduh memakai baju lokap dikawal ketat semasa dibawa ke Kompleks Mahkamah Miri semalam.

MIRI: Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, setelah usaha melarikan diri sejak 2015 berakhir dengan penangkapan tertuduh pada 19 Ogos lalu dan dihadapkan ke mahkamah di sini atas tuduhan membunuh dan mencederakan dua lelaki.

Tertuduh, Jack Reong, 39, dari Kampung Lusut, Taman Tunku di sini yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pagi semalam dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan rotan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 19 Ogos lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Steve Ritikos setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki dikenali Atong Kanang, 46, dengan menetak pergelangan tangan kanan mangsa menggunakan sebilah samurai.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 8.30 malam, pada 20 Oktober 2016 di sebuah rumah sewa tidak bernombor di Riam Jaya, Jalan Riam di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh didenda atau sebat jika sabit kesalahan.

Di hadapan mahkamah, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ke atasnya diringankan.

Pendakwaan dilakukan ASP Koay Kok Ping.

Terdahulu, Jack turut dihadapkan ke Mahkamah Majisret di sini atas tuduhan membunuh seorang jirannya, tiga tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian jirannya, Mingu Nanggai, 44.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 8 malam, pada 29 Mei hingga jam 2.30 pagi, 30 Mei 2015 di L/S 47/B06 Kampung Lusut Jaya (1) di sini.

Tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan menetapkan 10 Oktober depan untuk sebutan lanjut kes.

Manakala tertuduh yang tidak ditawarkan jaminan diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

  • oleh
  • Advertisement