Anda di sini

‘Crazy Rich Asians’ masih unggul di box office Amerika

 Gambar fail bertarikh 7 Ogos 2018 ini menunjukkan barisan pelakon ‘Crazy Rich Asians’ (dari kiri) Ken Jeong, Jon M. Chu, Jimmy O. Yang, Sonoya Mizuno, Gemma Chan, Michelle Yeoh, Henry Golding, Awkwafina, Constance Wu, Chris Pang, Nico Santos, Ronny Chieng, dan penulis Kevin Kwen semasa tayangan perdana filem itu di Hollywood, California.  — Gambar AFP
TERUS UNGGUL: Gambar fail bertarikh 7 Ogos 2018 ini menunjukkan barisan pelakon ‘Crazy Rich Asians’ (dari kiri) Ken Jeong, Jon M. Chu, Jimmy O. Yang, Sonoya Mizuno, Gemma Chan, Michelle Yeoh, Henry Golding, Awkwafina, Constance Wu, Chris Pang, Nico Santos, Ronny Chieng, dan penulis Kevin Kwen semasa tayangan perdana filem itu di Hollywood, California. — Gambar AFP

IA telah menjadi satu lagi hujung minggu yang mengagumkan untuk filem komedi romantik ‘Crazy Rich Asians’, yang mengungguli kaunter tiket untuk hujung minggu ketiga berturut-turut di tengah-tengah satu musim panas agak baik untuk teater-teater Amerika Utara keseluruhan, kata pemerhati industri pada Ahad lepas.

Menurut Exhibitor Relations, filem Warner Bros. dengan barisan pelakon yang kebanyakannya Asia itu memperolehi anggaran AS$22.2 juta untuk tayangan hari Jumaat hingga Ahad, kurang hanya 10 peratus dari hujung minggu sebelumnya.

Filem itu dianggarkan memperolehi AS$28 juta jika tayangan cuti Labor Day pada hari Isnin turut dimasukkan.

Filem yang diadaptasi daripada novel paling laris Kevin Kwan dan dibintangi Michelle Yeoh, Henry Golding serta Constance Wu itu mengisahkan tentang seorang profesor ekonomi Amerika yang pertama kali berjumpa keluarga teman lelakinya yang sangat kaya di Singapura dalam sebuah cerita tentang pertembungan cinta, keluarga dan kekayaan besar.

‘Crazy Rich’ juga membantu merangsangkan kaunter tiket musim panas dengan hasil dalam negeri dijangka akan naik 14 peratus berbanding musim panas lepas.

Warner Bros. sementara itu mencatat satu lagi filem hit dengan kisah seram jerung pembunuh ‘The Meg’, di tempat kedua sekali lagi dengan kutipan jualan tiket sebanyak AS$10.5 juta.

Jason Statham membintangi filem itu sebagai penyelam penyelamatan yang berusaha untuk menyelamatkan ahli sains yang terperangkap dalam sebuah kapal selam yang diserang oleh seekor jerung prasejarah yang sangat besar.

Di tempat ketiga ialah filem pengembaraan lakonan Tom Cruise, ‘Mission Impossible -- Fallout’ dari Paramount, yang memperolehi AS$7 juta di box office.

Secara global, blokbuster aksi itu telah memperolehi AS$649 juta, persembahan terbaik mana-mana filem dalam francais ‘MI’ sehingga kini.

Tempat keempat diduduki oleh filem baru MGM ‘Operation Finale’, dengan AS$6 juta. Oscar Isaac berlakon sebagai ejen Israeli Mossad yang menjejaki penjenayah perang Nazi Adolf Eichmann (Ben Kingsley) hingga ke pinggir bandar Buenos Aires di mana dia tinggal dengan menggunakan nama palsu.

Dan di tempat kelima ialah ‘Searching’ dari Sony, dengan AS$5.7 juta.

Ditulis dan diarahkan oleh pembikin filem Aneesh Chaganty, ia mengisahkan tentang usaha terdesak seorang lelaki berketurunan Korea-Amerika mencari anak perempuan remajanya selepas dia hilang di California.

Filem itu dibintangi oleh John Cho, Michelle La dan Debra Messing.

Melengkapkan 10 filem teratas pada hujung minggu adalah ‘Christopher Robin’ (AS$5 juta), ‘Alpha’ (AS$4.5 juta), ‘The Happytime Murders’ (AS$4.4 juta), ‘BlackkKlansman’ (AS$4.1 juta) dan ‘Mile 22’ (AS$3.6 juta). — AFP

Advertisement