Anda di sini

Peserta JK1M tawan puncak Bukit Mawar sempena Hari Kemerdekaan

Advertisement
 Kepuasan terpancar di wajah setiap peserta JK1M selepas berjaya menawan puncak Bukit Mawar Sandakan sempena Hari Kemerdekaan.
TAHNIAH: Kepuasan terpancar di wajah setiap peserta JK1M selepas berjaya menawan puncak Bukit Mawar Sandakan sempena Hari Kemerdekaan.

SANDAKAN: Serombongan peserta program Jom Kurus 1 Malaysia (JK1M) di Sandakan telah mengadakan program menawan puncak Bukit Mawar sempena sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos, pada Jumaat.

Penyelaras program yang juga jurulatih JK1M Sandakan, Jurulatih Ain Chin berkata seramai 21 peserta program itu yang bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-61 tahun dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku’.

Katanya, program mendaki Bukit Mawar merupakan salah satu aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan itu, di samping mengekalkan kecergasan fizikal dan memperkasakan jati diri para peserta serta menghargai alam semula jadi.

Katanya, program itu juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim, kerjasama dan keakraban dalam kalangan peserta program Jom Kurus 1 Malaysia yang berlangsung di Sandakan selama enam minggu bermula 11 Ogos hingga 22 September depan.

Program JK1M berjalan serentak di seluruh negara ke arah melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas serta memiliki indeks tubuh badan yang ideal.

Puncak Bukit Mawar merupakan antara lokasi popular di daerah Sandakan yang sering dikunjungi rombongan atau kumpulan penggiat aktiviti ‘hiking’ atau riadah kerana selain laluan yang sedikit mencabar fizikal dan mental, lokasi di puncak kedua-dua bukit itu memberikan suasana damai dan pemandangan sekeliling yang amat indah dan menarik.

Salah seorang peserta, Hafsa Chamando berkata, beliau rasa teruja dapat menyertai program JK1M dan aktiviti hiking itu yang bukan sahaja dapat menguji kecergasan fizikal dan mental, tetapi juga mengeratkan lagi jalinan kerjasama dan silaturahim khasnya dalam kalangan peserta program tersebut.

Hafsa, 44, yang bertugas sebagai guru perpustakaan dan media (GPM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sibugal Besar Sandakan turut berbangga dapat menjadi sebahagian daripada peserta yang menjayakan misi menawan puncak Bukit Mawar Sandakan sambil membawa bendera keramat Jalur Gemilang yang menjadi simbol kebanggaan rakyat dan kedaulatan negara Malaysia tercinta.

Katanya, kemerdekaan negara harus dipertahankan dan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan sebagainya harus terus bersatu padu memainkan peranan masing-masing untuk mengisi kemerdekaan agar ia terus berkekalan.

Advertisement