Anda di sini

TPM hargai kesabaran rakyat tunggu kerajaan baharu tangani masalah negara

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) hari ini berterima kasih kepada rakyat kerana bersabar dengan kerajaan baharu yang sedang berusaha menangani masalah negara yang wujud sejak pentadbiran terdahulu.

Beliau mengakui masalah terbabit  sukar diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

“Saya kira ada caranya (untuk menangani masalah)...60 tahun (sejak pentadbiran kerajaan terdahulu) itu sukar untuk ditangani masalah secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Sabah di sini.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang sebelum itu ditanya mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa semalam, berkata ​​penguatkuasaan SST tersebut perlu  sebagai kaedah  kerajaan mengutip dana untuk memajukan negara.

Apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan di semua peringkat  oleh  kerajaan terdahulu dimansuhkan, kerajaan perlukan sistem percukaian baharu untuk mengutip dana, katanya. 

Malah kata Dr Wan Azizah, dana yang bakal dikumpulkan menerusi SST adalah jauh lebih rendah berbanding kutipan GST namun kerajaan tidak mahu terus membebani rakyat dengan cukai yang tinggi.

Pada masa sama beliau mahu rakyat memanfaatkan talian ‘hotline’ kementerian berkaitan untuk menyemak serta membuat aduan berhubung salah guna SST.

Terdahulu, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR, meminta anggota PKR Sabah memberi sokongan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telahpun memenangi jawatan presiden parti tanpa  bertanding  ketika pencalonan baru-baru ini.

Pemilihan PKR dijadualkan selama sebulan bermula 14 September ini hingga 13 Oktober.

-- Bernama 

Advertisement