NABAWAN: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick memaklumkan Nabawan merupakan satu-satunya daerah di negeri ini yang beruntung kerana terpilih bagi pelaksanaan Program Kemajuan Kawasan (PPK) bernilai RM9.3 juta.
Katanya, projek itu yang dilaksanakan sejak Disember 2015 dijangka siap Oktober ini dan akan memberi manfaat kepada 60 ketua isi rumah terpilih melalui senarai e-Kasih.
“Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
“Seluas 30 ekar tanah milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah dibangunkan dengan persetujuan bersama untuk menyediakan 60 unit rumah bagi peserta terpilih dan menempatkan pembangunan projek ekonomi madu lebah, kelulut dan labu madu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek itu di Kampung Lima di sini semalam.
Ewon turut menasihatkan rakyat yang terpilih supaya memanfaatkan peluang itu dengan maksima dan menjadi peserta yang mampu menghasilkan pulangan sebagaimana yang diharapkan oleh kerajaan.
“Kementerian saya merakamkan terima kasih kepada kerajaan pusat dengan pemberian projek yang disifatkan sangat bermakna kepada rakyat di Nabawan,” tambahnya. — Bernama