Anda di sini

Malaysia capai sasaran tujuh emas Sukan Asia 2018

Advertisement
Atlet squash negara, Mohamad Syafiq Mohd Kamal, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan, Ng Eain Yow dan Yuen Chee Wern menunjukkan pingat yang dimenangi mereka pada acara squash berpasukan lelaki akhir manakala pasukan squash wanita berpasukan yang diwakili oleh Datuk Nicol Ann David, Sivasangari Subramaniam, Low Wee Wern dan Aifa Azman merangkul pingat gangsa di Arena Gelora Bung Karno semalam. - Gambar Bernama
Atlet squash negara, Mohamad Syafiq Mohd Kamal, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan, Ng Eain Yow dan Yuen Chee Wern menunjukkan pingat yang dimenangi mereka pada acara squash berpasukan lelaki akhir manakala pasukan squash wanita berpasukan yang diwakili oleh Datuk Nicol Ann David, Sivasangari Subramaniam, Low Wee Wern dan Aifa Azman merangkul pingat gangsa di Arena Gelora Bung Karno semalam. - Gambar Bernama

JAKARTA: Hasrat kontinjen Malaysia untuk mencapai sasaran tujuh pingat emas pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 akhirnya tercapai menerusi kejayaan pasukan skuasy lelaki negara, semalam.

Kejayaan skuad berkenaan yang mengejutkan pilihan utama, Hong Kong dengan keputusan 2-1 pada aksi final di Stadium Skuasy Gelora Bung Karno, ternyata berita menggembirakan buat rakyat Malaysia yang menyambut Hari Kebangsaan 2018, kelmarin.

Selain satu emas, kontinjen negara turut meraih satu perak menerusi hoki lelaki dan satu gangsa melalui penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dalam acara 3m papan anjal individu wanita di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno.

Di sebalik kejayaan pasukan skuasy lelaki, skuad hoki lelaki negara terpaksa menelan kepahitan setelah melepaskan peluang layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila kalah 1-3 dalam penentuan pukulan penalti kepada Jepun.

Perlawanan berkenaan terpaksa ditentukan menerusi penentuan pukulan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 6-6 pada aksi penuh perlawanan.

Tambahan tiga pingat hari ini menyaksikan kontinjen Malaysia menamatkan saingan Sukan Asia 2018 di tangga ke-14 daripada 37 negara keseluruhan dengan kutipan tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa.

Hanya satu acara akan berlangsung sebelum upacara penutup Sukan Asia 2018 esok, acara campuran Triathlon yang diadakan di Tasik Bandar Sukan Jakabaring, Palembang.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini meraih enam emas, masing-masing dua pingat emas dalam acara boling; satu emas (sepak takraw), satu emas (skuasy perseorangan wanita) , satu emas (berbasikal trek) serta satu emas dalam acara pelayaran.

Malaysia turut meraih pingat perak menerusi acara boling (dua pingat), berbasikal trek (satu pingat), terjun (satu pingat), ekuestrian (satu pingat), silat (empat), sepak takraw (satu pingat), skuasy (satu pingat) selain pelayaran yang menyumbang satu perak.

Kontinjen negara turut memenangi pingat gangsa yang hadir menerusi acara memanah (satu pingat), terjun (dua pingat), karate (satu pingat), silat (empat pingat), skuasy (dua pingat), taekwondo (satu pingat), pelayaran (tiga pingat) dan berbasikal trek (satu pingat), 

Juara bertahan China mengekalkan kejuaraan keseluruhan temasya sukan berkenaan yang bermula secara rasmi sejak hari pembukaan pada 19 Ogos lepas, dengan kutipan 132 pingat emas, 92 perak dan 65 gangsa.

 Jepun berada di tangga kedua (74-56-74), manakala Korea Selatan mengakhiri saingan Sukan Asia 2018 di tempat ketiga dengan pungutan 49-57-70.

Kejayaan China itu menyaksikan mereka meneruskan dominasi selaku jaguh Asia dalam temasya sukan empat tahun sekali itu, sejak muncul juara buat pertama kali pada edisi 1982 di New Delhi, India.

-- Bernama 
 

Advertisement