Anda di sini

Cliff Richard akan muncul dengan album baharu

Advertisement
 

PENYANYI veteran Cliff Richard baru-baru ini mengumumkan bahawa beliau akan mengeluarkan album bahan baharunya yang pertama dalam tempoh 14 tahun, sebulan selepas bintang pop veteran dari Britain itu memenangi satu kes privasi bersejarah.

Richard, 77, berkata album itu ‘Rise Up’, yang dijadual keluar pada 23 November, merenungkan “waktu buruk” yang beliau telah harungi.

Beliau mendapatkan ganti rugi daripada BBC selepas ia menyiarkan rakaman secara langsung, termasuk rakaman helikopter yang menyeluruh, satu serbuan oleh polis pada 2014 ke atas kediamannya ketika penyiasat menyiasat dakwaan tentang serangan seksual yang berlaku pada tahun 1980an.

Penyanyi itu tidak pernah ditangkap atau didakwa atas sebarang kesalahan dan Mahkamah Tinggi England mendapati haknya telah dicabul dengan serius dalam cara yang disensasikan.

Bintang pop tempatan pertama di Britain itu mengumumkan album baharu dengan 16 buah lagu itu tepat 60 hari selepas lagu single pertamanya ‘Move It’ dikeluarkan pada 20 Ogos 1958.

“Saya memilih ‘Rise Up’ sebagai tajuk album kerana selepas waktu buruk yang saya harungi dalam hidup saya, saya berjaya bangkit dan keluar daripada apa yang kelihatan seperti lumpur jerlus,” katanya kepada wartawan di Abbey Road Studios, London.

“Saya amat menyukai lirik ‘They’re never gonna break me down, they’re never gonna take me down’ (Mereka tidak akan menghancurkan aku, mereka tidak akan menjatuhkan aku).

“Ia sentiasa hebat untuk menyanyikan lirik yang kita dapat ‘rasa’ – dan saya benar-benar merasai kata-kata itu!”

Richard berkata album itu boleh menjadi satu “kebangkitan” untuknya.

“Beri saya peluang, itu sahaja yang kami dapat pinta,” katanya.

Album itu menyaksikan Richard bersatu semula dengan Olivia Newton-John buat pertama kali dalam tempoh hampir 25 tahun untuk lagu ‘Everybody’s Someone’, selepas mereka berduet dalam lagu ‘Had To Be’ pada 1995.

Richard merupakan artis ketiga paling laris dalam sejarah carta lagu single British, di belakang The Beatles dan Elvis Presley.

Lagu-lagu hitnya termasuk ‘The Young Ones’, ‘Living Doll’, ‘Summer Holiday’, ‘Mistletoe And Wine’ dan ‘The Millennium Prayer’. — AFP

Advertisement