
KOTA KINABALU: Usaha menangani pencemaran laut khususnya daripada sisa pepejal seperti sampah adalah menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk sektor kerajaan, swasta, komuniti setempat, sekolah dan Institut Pendidikan Tinggi.
Timbalan Ketua Menteri Christina Liew berkata, usaha meningkatkan kesedaran harus bermula daripada kepelbagaian anjuran program pendidikan dijalankan bagi menangani permasalahan pengurusan sisa berkenaan.
"Sebagai contoh, banyak badan atau kumpulan yang menjalankan program-program pendidikan pengurusan sisa seluruh negeri untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penjagaan alam sekitar.
"Saya sedar bahawa perubahan tingkah laku dalam kalangan masyarakat kita ini memerlukan masa untuk mencapai tahap kesedaran penjagaan alam sekitar.
"Bagaimanapun, kita akan sentiasa berusaha untuk merealisasikan aspirasi yang terkandung dalam dasar negeri Sabah mengenai alam sekitar," katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Hari Alam Sekitar Institut Sinaran, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, terdapat pelbagai perkara mudah yang boleh dilakukan sebagai sebuah komuniti untuk membantu dalam memulihara alam sekitar daripada pencemaran.
"Antaranya seperti membawa beg membeli belah ke pasar raya, menggunakan semula bekas atau plastik, berhenti menggunakan straw plastik dan gunakan cawan yang boleh digunakan semua.
"Saya percaya pada kepentingan dan kekuatan pendidikan dalam memberikan kesedaran orang ramai terhadap pencemaran yang berasaskan plastik mampu menggalakkan orang ramai untuk melakukan 3R iaitu, kurangkan, guna semua dan kitar semula," katanya.
Menurutnya, setiap individu perlu bertanggungjawab sekiranya menggunakan barangan plastik, jangan sesekali membuang merata tempat.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Pentadbiran Institut Sinaran Fong Tet Kong, Ketia Pegawai Eksekutif Institut Sinaran Marie Yong dan Pengerusi Persatuan Hakka Kota Kinabalu Datuk Jimmy Yong.