Anda di sini

Festival filem Venice dikecam amal ‘kemaskulinan toksik’

Advertisement
 (Dari kiri) aktor Austria Christoph Waltz, pelakon dan pengeluar New Zealand Taika Waititi, aktres British Naomi Watts, pengeluar Malgorzata Szumowska dari Poland, aktres Danish Trine Dyrholm, aktres Perancis Nicole Garcia, presiden juri dan pengarah Mexico Guillermo Del Toro, aktres dan pengarah Taiwan Sylvia Chang serta pengarah Itali Paolo Genovese bergambar bersama pada hari pembukaan Festival Filem Venice  pada Rabu lepas.  — Gambar AFP
BARISAN JURI: (Dari kiri) aktor Austria Christoph Waltz, pelakon dan pengeluar New Zealand Taika Waititi, aktres British Naomi Watts, pengeluar Malgorzata Szumowska dari Poland, aktres Danish Trine Dyrholm, aktres Perancis Nicole Garcia, presiden juri dan pengarah Mexico Guillermo Del Toro, aktres dan pengarah Taiwan Sylvia Chang serta pengarah Itali Paolo Genovese bergambar bersama pada hari pembukaan Festival Filem Venice pada Rabu lepas. — Gambar AFP

FESTIVAL filem Venice dikecam kerana “kemaskulinan toksik” ketika ia dibuka Rabu lepas dengan hanya seorang sahaja pengarah wanita yang diwakili di kalangan barisan pengarah paling menarik sejak sekian lama.

Dengan Hollywood yang sebenarnya menjadikan festival itu sebagai batu loncatan bagi anugerah Oscar dengan filem-filem baharu arahan Damien Chazelle, adik beradik Coen, Alfonso Cuaron dan penampilan skrin sulung Lady Gaga yang begitu diuar-uarkan, feminis telah menyelar penganjur kerana memilih hanya sebuah filem sahaja oleh seorang pengarah wanita.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut di mana Venice telah memaparkan hanya sebuah filem sahaja yang diarah oleh seorang wanita di kalangan 41 yang merebut hadiah utama Golden Lion.

Pengarah festival Alberto Barbera mengumumkan dia “lebih rela meletak jawatan” daripada tunduk kepada tekanan bagi kuota untuk wanita selepas festival di Cannes, Toronto dan Locarno menjanjikan diri kepada kesamarataan jantina.

Namun pendiriannya – ketika Venice cuba menyaingi Cannes sebagai festival paling penting di dunia – dikritik oleh pakatan pembuat filem wanita di Eropah.

“Maaf, tetapi kami tidak percaya kepada perkara ini lagi,” kata European Women’s Audiovisual Network dalam sepucuk surat terbuka pada awal bulan ini.

“Apabila Alberto Barbera mengugut untuk meletak jawatan, beliau mengekalkan pendapat bahawa memilih filem oleh pembuat filem wanita bermakna menurunkan standard.”

Pihak lain menyalahkan unsur “kemaskulinan toksik” Itali yang menyaksikan aktres dan aktivis #MeToo, Asia Argento, diejek di tanahairnya kerana menuduh Harvey Weinstein merogolnya.

- ‘SAYA AKAN MELETAK JAWATAN’ -

Barbera menegaskan beliau memilih filem-filem “berdasarkan kualiti dan bukan jantina pengarah”, dan memberitahu pemberita “jika kita melaksanakan kuota, saya akan meletak jawatan”.

Dia sudah menerima tekanan kerana memuatkan sebuah dokumentari daripada Bruce Weber Nice Girls Don’t Stay for Breakfast’ walaupun dakwaan telah dibuat oleh 15 orang peraga lelaki mengenai kelakuan seksual paksaan jurugambar fesyen Amerika itu.

Weber menafikan sebarang salah laku.

Barbera turut berdepan dengan persoalan mengenai keputusannya untuk menjemput pengarah Hollywood yang aib, James Toback, bagi mengadakan tayangan perdana untuk filemnya The Private Life of a Modern Woman’ di Venice pada tahun lepas.

Toback dituduh melakukan serangan dan gangguan seksual oleh hampir 400 orang wanita, termasuk tiga orang aktres, Julianne Moore, Selma Blair dan Rachel McAdams.

“Saya bukan dalam kedudukan untuk membuat penghakiman, untuk memutuskan sama ada kelakuan James Toback adalah baik atau jahat,” kata Barbera.

“Saya bukan seorang hakim. Saya bukan seorang peguam. Saya seorang pengarah festival. Saya mengenali Encik Toback dan saya menjemputnya,” katanya mengenai pengarah itu yang menafikan dakwaan terhadapnya.

“Kita akan lihat sama ada mahkamah memutuskan sama ada tuduhan itu benar ataupun tidak, dan jika ia benar, beliau akan pergi ke penjara.”

Walau bagaimanapun perbalahan mengenai pengarah wanita tidak dapat menyangkal cara Barbera telah mengubah festival filem paling lama di dunia itu.

- BATU LONCATAN UNTUK ANUGERAH OSCAR -

Beberapa pemenang Oscar sejak lima tahun lalu telah mengadakan tayangan perdana di Venice termasuk Gravity’, Birdman’, Spotlight’, La La Land’ dan filem terbaik pada tahun lepas, The Shape of Water’. Pengarahnya dari Mexico, Guillermo del Toro, adalah ketua juri pada tahun ini.

Barbera telah mencuri beberapa idea Cannes dan bintang-bintangnya, dan waktu festival itu diadakan menjadikannya batu loncatan yang lebih baik bagi musim anugerah Amerika.

Venice turut mendapat manfaat daripada permusuhan Cannes dengan gergasi striming Netflix, dengan mendapatkan semua filemnya yang biasanya mungkin telah ditayangkan di festival filem terbesar di dunia.

Barisan filem yang begitu hebat di Venice pada tahun ini termasuk filem-filem baharu oleh pengarah ‘Son of Saul’ yang memenangi Oscar dari Hungary, Laszlo Nemes, Paul Greengrass dan Mike Leigh dari Britain, guru dari China, Zhang Yimou, Emir Kusturica dan dua pengarah terbesar Perancis, Jacques Audiard dan Olivier Assayas, yang biasanya ditayangkan di Cannes.

Festival itu bermula lewat Rabu lepas dengan First Man’, di mana Chazelle bergabung semula dengan bintangnya dalam La La Land’, Ryan Gosling.

Pelakon Kanada itu membawa watak angkasawan Neil Armstrong pada tahun-tahun sebelum 1969, apabila beliau menjadi lelaki pertama untuk berjalan di atas bumi.

Jennifer Kent dari Australia merupakan wanita tunggal yang merebut anugerah Golden Lion dengan The Nightingale’.

Kali terakhir seorang wanita memenangi hadiah utama di Venice adalah 43 tahun lalu apabila pengarah Jerman, Margarethe von Trotta, menang dengan Marianne and Juliane’.

— AFP

Advertisement